My Add

Saturday, 10 May 2014

MAS 'lupus' MRO?

Oleh Mohammed Sofian Baharom

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Kesatuan Pekerja-Pekerja Kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) hari ini menyatakan kebimbangan berhubung hasrat pengurusan Malaysia Airlines (MAS) yang ingin mengeluarkan bahagian penyelenggaraan, membaik pulih dan pembaikan (MRO) daripada identiti syarikat penerbangan berkenaan.

Setiausaha Eksekutif MASEU, Jabarullah Abd. Kadir berkata, maklumat bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MAS Aerospace Engineering Sdn. Bhd., Azhari Mohd. Dahlan bersama pengurusan MAS sedang menyiapkan kertas kerja untuk merealisasikan langkah pengeluaran MRO itu telah memberi tekanan kepada kira-kira 4,000 kakitangan bahagian berkenaan.

“Kakitangan MRO jelas gelisah dengan perkembangan ini kerana berasa kerjaya mereka terumbang-ambing sekiranya langkah pengeluaran itu dilaksanakan. Mereka pasti tidak dapat menumpukan terhadap tugas apabila memikirkan nasib yang tidak pasti.

“Sehubungan itu, Azhari dan pengurusan MAS diminta tampil menyatakan sebab dan apakah hasrat mereka melakukan pengeluaran MRO ini. Tambahan pula, isu melibatkan MAS adalah kepentingan awam. Apakah sebab beliau mahu mengeluarkan identiti kejuruteraan dari MAS?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jabarullah menegaskan, MRO merupakan ‘darah dan daging’ dalam operasi MAS dan kepakaran daripada bahagian itu sentiasa ditagih oleh syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk AirAsia dan Emirates Airways.

Beliau berkata, sekiranya bahagian MRO yang menjadi antara kekuatan utama MAS itu dikeluarkan, nescaya syarikat penerbangan negara itu akan dilanda masalah yang serius sehingga memudaratkan masa depannya.

“Pada MASEU sekarang, semua kakitangan ingin mengetahui kewajaran langkah berkenaan memandangkan perkara ini melibatkan masa depan MAS dan kepentingan umum," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment