My Add

Tuesday 27 May 2014

Empat kapal dagang asing ditahan

 * SEBAHAGIAN daripada anak kapal sebuah kapal dagang yang ditahan pasukan agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di perairan selatan Pulau Lima dekat Kota Tinggi, Johor, semalam.
KOTA TINGGI, ISNIN 26 Mei, 2014: Penyelewengan diesel bersubsidi di laut bukanlah kegiatan kecil sebaliknya dilakukan secara berleluasa melibatkan kapal dagang asing sehingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada negara .

Ini dibuktikan dalam operasi khas yang dilancarkan di perairan selatan Pulau Lima, Sungai Rengit dekat sini oleh sepasukan agensi penguat kuasa yang diselaraskan oleh Pasukan Petugas Khas Jabatan Peguam Negara, hari ini.

Dalam operasi yang turut disertai oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan polis marin itu, enam buah kapal dagang diperiksa dan empat buah daripadanya disyaki melakukan pemindahan dan menjual minyak diesel bersubsidi.

Daripada jumlah itu, tiga buah kapal didaftar di Panama manakala sebuah di Kuching, Sarawak.

"Kapal yang didaftarkan di Ku­ching itu didapati membawa 2.1 juta liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta, manakala salah sebuah daripada tiga kapal dari Panama tersebut membawa sebanyak 200,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM540,000," kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Menurut sumber itu, berdasarkan dokumen yang diperiksa daripada kapal yang didaftar dari Pa­nama tersebut, kapal berkenaan membawa sebanyak 600,000 liter diesel, namun apabila pemeriksaan lanjut dilakukan hanya ada 200,000 liter.

"Kita percaya 400,000 liter lagi dijual kepada kapal-kapal lain. Pemeriksaan ke atas sebuah lagi kapal yang didaftarkan di Panama menunjukkan berlaku penjualan diesel bersubsidi yang dikatakan dibeli daripada sebuah kapal yang ditahan di Tanjung Belungkor, dekat sini baru-baru ini.

"Bagaimana kapal ini yang membeli minyak dari kapal yang kita tahan itu boleh 'kosong'. Mesti ada penjualan minyak yang dilakukannya dan kita akan melakukan siasatan lanjut," kata sumber itu lagi.

Sumber itu menjelaskan lagi, pihak berkuasa turut mengenal pasti kawasan perairan ini yang terletak Laut China Selatan menjadi 'stesen minyak' bergerak yang beroperasi secara haram sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu, pihaknya turut mengesan beberapa kesalahan yang sering dilakukan kapal-kapal iaitu bersauh secara haram, menjalankan aktiviti jual beli minyak diesel bersubsidi secara haram dan minyak diesel yang diperoleh diragui sumbernya.

"Apabila kita tanya kapten kapal, mereka mendakwa membeli diesel berkenaan dari negara jiran. Tapi kita ragu kerana harga diesel di negara berkenaan jauh lebih mahal berbanding di negara kita. Lagipun, tiada dokumen yang menunjukkan mereka beli minyak diesel itu di negara berkenaan," katanya.

Menurut beliau, kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawal Bekalan 1961. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment