My Add

Tuesday 27 May 2014

Gerak semangat kesatuan wasatiyyah

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam di negara ini bersama-sama mengambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj dengan menggerakkan semangat kesatuan bertunjangkan wasatiyyah serta mengukuhkan persaudaraan sesama umat Islam.

Perdana Menteri berkata, jambatan silaturahim juga perlu dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama.

"Inilah tonggak keharmonian dan perpaduan di negara kita yang perlu dipertahankan bersama-sama," katanya dalam perutusan khas sempena peristiwa Israk dan Mikraj 1435H, yang dimuat naik di laman blog www.1malaysia.com.my.

Beliau berkata, antara hikmah bersejarah di sebalik peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab itu adalah sebuah persahabatan ikhlas yang ditunjukkan oleh (Khalifah) Abu Bakar sehingga mendapat gelaran As-Siddiq (yang benar) kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad S.A.W berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj.

Najib berkata, situasi itu mengajar bahawa kehidupan tidak semata-mata berpaksikan diri dan keluarga sahaja, bahkan ia meliputi jiran tetangga dan sahabat handai yang harus mengutamakan keikhlasan dan kejujuran.

Israk dan Mikraj disambut esok iaitu pada 27 Rejab setiap tahun hijrah.

Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil, manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah.

Perdana Menteri berkata, peristiwa Israk dan Mikraj juga mengajar supaya sentiasa berpegang kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami dan disenangi oleh orang lain.

"Inilah hakikat yang dipegang oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika baginda menyampaikan peristiwa ini kepada kaumnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment