My Add

Tuesday 27 May 2014

Pengurusan MAS didesak berundur

Oleh ZULKIFLI SAINUDDINpengarang@utusan.com.my

SUBANG, ISNIN26 Mei, 2014: Kesatuan Pe­kerja-Pekerja Kakitangan Sistem Pe­nerbangan Malaysia (MASEU) me­­nuntut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Ah­mad Jauhari Yahya meletak jawatan kerana didakwa gagal membawa keuntungan kepada syarikat pener­bangan milik negara itu sejak tiga tahun lalu.

Presidennya, Alias Aziz berkata, MASEU juga mahu dua lagi pengurusan tertinggi MAS iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Engineering (MAE), Azhari Mohd. Dahlan dan Pengarah Sumber Manusia, Zahrah Zaid turut meletak jawatan untuk bertanggungjawab atas kegagalan itu.

Katanya, MAS sejak tiga tahun lalu mengalami kerugian dengan tahun lalu sahaja mencecah RM1.1 bilion manakala untuk suku pertama tahun ini pula adalah RM443 juta.

"Sejak Ahmad Jauhari menjadi CEO MAS, beliau tidak membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan milik negara ini malah membawa kerugian, berbeza dengan CEO sebelum ini.

"Kami juga tidak nampak beliau mampu memulihkan situasi MAS ketika ini dan disebabkan itu kami sebulat suara mahu beliau dan dua lagi pegawai tertinggi MAS itu meletak jawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengetuai kira-kira 200 kakitangan MAS berhimpun secara aman bagi mendesak peletakan jawatan ketiga-tiga pengurusan tertinggi terbabit di depan Menara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini.

Alias berkata, MASEU juga membantah cadangan yang mahu menjual bahagian penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) MAS yang diketuai oleh Azhari.

Menurutnya, MRO MAS sebelum dipimpin oleh Azhari pada 2012 merupakan sumber keuntungan kepada MAS kerana tenaga mahir yang dimilikinya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Malangnya selepas Azhari mengambil alih, jabatan itu mengalami kerugian dan ini jelas bahawa punca kerugian adalah disebabkan oleh beliau," dakwanya.

Tambah Alias, penjualan MRO MAS kepada pihak lain juga dikhuatiri akan menyebabkan nasib kakitangan MAS tidak menentu dan ditindas.

"MASEU juga menuntut campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan masalah ini sebelum keadaan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kakitangan MAS terpaksa diberhentikan," katanya.

"Seorang yang pakar dalam industri penerbangan perlu dipilih untuk menerajui MAS dan kami dalam masa terdekat akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri untuk campur tangan dalam isu ini," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment