My Add

Tuesday 27 May 2014

Jeneral Prayuth dapat restu raja

 & BARISAN anggota tentera berkawal berhampiran Monumen Kemenangan, dalam usaha memantau keadaan berikutan cubaan mengadakan demonstrasi antirampasan kuasa di Bangkok, Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK, ISNIN 26 Mei, 2014: Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-Ocha menerima sokongan Raja Bhumibol Adulyadej untuk mengetuai kerajaan junta selepas pasukan keselamatan tersebut merampas kuasa pada minggu lepas.

Kerajaan junta juga memberi amaran akan mengambil tindakan keras ke atas semua bentuk perbuatan cuba menghuru-harakan keadaan selepas demonstrasi antirampasan kuasa pada hujung minggu lalu.

Menurut satu perintah diraja, Raja Bhumibol melantik Prayuth sebagai ketua Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional untuk mentadbir negara bagi mengembalikan perpaduan, ketenteraman dan keamanan.

Raja Bhumibol, 86, merupakan pemerintah yang sangat dihormati rakyat negara ini dan restu beliau merupakan langkah utama dalam mengesahkan rampasan kuasa oleh tentera sebelum ini.

Rampasan kuasa tentera terbaharu itu mencetuskan bantahan dengan lebih 1,000 penunjuk perasaan berarak di Bangkok semalam.

Penunjuk perasaan turut menggempur askar bersenjata yang menyaksikan dua orang diheret dan ditahan.

Sejurus menerima restu pemerintah Thailand itu, Prayuth dalam sidang media pertamanya sebagai ketua kerajaan junta, mengancam untuk mengetatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penunjuk perasaan antirampasan kuasa yang merancang mengadakan demonstrasi hari ini.

Beliau berkata, penunjuk perasaan boleh dihadapkan ke mahkamah tentera yang memperuntukkan hukuman berat.

Kerajaan junta juga menahan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersama 200 pemimpin kerajaannya, tokoh politik, pengkritik dan ahli akademik sejak rampasan kuasa tersebut, tindakan yang dikritik masyarakat antarabangsa.

Seorang komander tentera, Leftenan Jeneral Thirachai Nakwanich hari ini menyatakan Yingluck masih berada dalam tahanan pasukan keselamatan itu, namun enggan mendedahkan lokasinya.

Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan terhadap kerajaan Yingluck, Suthep Thaugsuban yang turut ditahan, dibebaskan dengan jaminan hari ini selepas didakwa membunuh dan cubaan membunuh kerana mengarahkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan pergerakan Baju Merah pada 2010 yang menyebabkan 98 orang maut. - AFP

No comments:

Post a Comment