My Add

Saturday, 10 May 2014

GST tak beri kesan negatif kuasa beli, peniaga

LEDANG, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan memberi kesan kepada kuasa beli pengguna manakala peniaga pula tidak mengalami kerugian kerana harga barangan tidak akan melambung serta-merta.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, pemahaman mengenai GST telah dikelirukan pihak tertentu sedangkan fungsinya adalah untuk menstabilkan harga selain menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, kajian awal yang dilakukan pihak kerajaan menunjukkan pelaksanaan GST sebanyak enam peratus tidak akan memberi kesan kepada pengguna atau peniaga malah harga barangan terkawal dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

“Kita kena faham sistem pelaksanaan cukai memang sudah dilaksanakan di negara ini iaitu SST, sebahagian besar barangan yang dijual di negara ini sudah pun dikenakan SST. GST hanya merupakan transformasi sistem cukai negara, setiap peringkat iaitu pengilang, pengedar dan peniaga ada tanggungjawab masing-masing untuk membayar cukai.

“Ini bermakna peniaga tidak perlu bayar cukai yang sepatutnya dikenakan kepada pengedar dan pengilang. Ini tidak merugikan peniaga kerana selama ini mereka memang bayar cukai melalui sistem SST," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Terengganu, Ahmad Izani Abdul Ghani yang menyatakan kumpulan peniaga dikhuatiri akan berdepan risiko kerugian sekiranya kuasa beli dalam kalangan pengguna semakin berkurangan kesan daripada pelaksanaan GST.

Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, kelebihan GST juga dapat menghalang segelintir pengilang dan pembekal yang selama ini cuba mengelak daripada membayar cukai penuh kepada kerajaan.

Namun katanya, peniaga kecil yang mempunyai jumlah perniagaan tahunan tidak melebihi RM500,000 akan dikecualikan daripada membayar cukai dengan syarat melaporkan rekod jualan tahunan kepada pihak kastam.

“Usaha menerangkan mengenai GST sedang dilakukan termasuk yang dimulakan di peringkat kepemimpinan UMNO menerusi sayap utamanya seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk disampaikan kepada akar umbi.

“Kita sedar ini bukan satu tugas yang mudah untuk memastikan rakyat benar-benar faham mengenai GST dalam tempoh yang singkat, namun kita akan cari pendekatan terbaik ke arah usaha memberi kefahaman mudah dan jelas," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment