My Add

Wednesday 28 May 2014

Imam Besar Masjid Negara sokong tutup operasi

 * SYAIKH Ismail Muhammad menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit ketika lawatan kerja sosial dakwah Masjid Negara di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU, selasa 27 Mei, 2014: Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad sependapat dengan banyak pihak yang mahu tindakan tegas diambil terhadap Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. susulan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam dua produknya.

Katanya, gejala penghinaan terhadap umat Islam dengan memandang remeh persoalan halal harus dihentikan dan tindakan tegas termasuk menutup opera­sinya wajar diambil supaya menjadi pe­ngajaran kepada banyak syarikat pengeluar makanan yang lain.

"Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan agar unsur-unsur babi dalam coklat atau lain-lain makanan dan barangan pengguna tidak tersebar luas dan disalahgunakan.

"Kalau ada pihak yang mengambil kesempatan kepada benda-benda haram itu, kita amat dukacita dan perlu tindakan keras, didenda dan kalau boleh ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja sosial dakwah ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. Dalam lawatannya itu, 32 pesakit menerima sumbangan Masjid Negara yang berupa hamper dan wang tunai.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA babi.

Mengulas lanjut, Syaikh Ismail menyifatkan kemasukan unsur haram ke dalam makanan merupakan antara strategi musuh untuk menggugat akidah orang Islam.

"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama se­perti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu.

"Ini kerana jika daging babi itu haram, walau datang dalam bentuk apa sekalipun dan sebesar mana pun ia tetap haram," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membaca bahan-bahan yang digunakan di dalam sesuatu produk terutama produk dari luar negara di samping me­ngajak mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Malah kita juga perlu berusaha untuk membasmi perkara ini supaya tidak tersebar luas. Tidak dinafikan masyarakat Islam kadang-kala nampak coklat terus membeli tanpa melihat bahan-bahan yang digunakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment