My Add

Wednesday 28 May 2014

Pengusaha perlu pastikan produk berkualiti, halal

ALOR SETAR, SELASA 27 Mei, 2014: Pengusaha produk kecantikan serta kesihatan dinasihati menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk yang dijual, dijamin kualitinya serta mencapai piawaian status halal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, terdapat hampir 3,000 syarikat berdaftar di negeri ini yang menjalankan perniagaan kecantikan serta kesihatan dan kebanyakannya mempromosikan produk masing-masing di Internet.

"Kita perlu sedar industri perniagaan kecantikan dan kesihatan ini tidak terlepas daripada kekangan perniagaan yang menjadikannya sasaran pengguna dengan tohmahan yang boleh menjatuhkan perniagaan mereka.

"Oleh itu saya sarankan setiap pengusaha produk kecantikan ini menjalankan R&D agar produk yang mereka jual dijamin halal serta mempunyai kualiti seperti yang dikatakan," katanya ketika merasmikan penutup program Fasilitasi Industri Perkhidmatan 2014 di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar di sini semalam.

Program dua hari itu dihadiri kira-kira 600 peserta terdiri daripada peniaga dan pengguna dari negeri ini, Pulau Pinang dan Perlis.

Tujuan program adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai hak sebagai pengguna yang bijak.

Menurut Ahmad Bashah, pihaknya mendapati kesedaran pengguna mengenai produk kecantikan dan kesihatan yang dijual di pasaran semakin meningkat berikutan jumlah kes yang difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

"Pada tahun 2011, jumlah kes yang difailkan melibatkan produk kecantikan dan kesihatan sebanyak 443 kes dengan jumlah tuntutan RM2.6 juta.

"Jumlah kes pada tahun 2013 pula sebanyak 266 kes dan melibatkan tuntutan sebanyak RM1.4 juta," jelasnya.

Tambah beliau, kes yang terlibat lazimnya adalah produk kesihatan diri bagi mengembalikan bentuk badan yang ramping tetapi pengguna tidak mendapat hasil diidamkan.

"Saya harap peniaga akan lebih sedar dan menjaga kualiti produk mereka bagi mengelakkan pelbagai masalah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment