My Add

Wednesday 28 May 2014

Pameran Persahabatan Malaysia-China peluang rakyat hargai sejarah negara

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Penganjuran Pa­meran Bergambar Persahabatan Berkekalan-Malaysia dan China dapat memberi peluang kepada rakyat negara ini memahami serta menghargai sejarah Malaysia serta hubungannya dengan negara lain.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, melalui kegiatan pelancongan serta pameran seperti itu, pihaknya dapat memperkenalkan warisan sejarah negara secara lebih meluas.

"Pameran bergambar seperti ini juga akan memberi inspirasi kepada penjenamaan serta dapat memasarkan warisan serta aset kebudayaan negara.

"Rekod sejarah bergambar dalam pa­meran ini akan memberi nilai yang besar untuk me­ningkatkan kefahaman mengenai kejayaan Malaysia, terutama melalui sumbangan pe­mimpin dahulu dalam membangun serta memajukan negara," katanya dalam majlis perasmian pameran tersebut di Pusat Beli-Belah Bangsar di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Ong Hong Peng.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan; Pengarah Urusan Canvas Art Sdn. Bhd, Robert Lim Fung Wang serta Pengarah Pejabat Kebudayaan, Kedutaan China di Malaysia, Gao Wei.

Pameran yang berlangsung sehingga 8 Jun ini dianjurkan Persatuan Persahabatan Malaysia-China dengan kerjasama Canvas Art Sdn. Bhd., memaparkan sebanyak 200 gambar berkenaan lawatan bersejarah bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak ke China pada tahun 1974.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 lawatan Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak ke China pada tahun 1974.

"Lawatan bersejarah ke China semasa era pertengahan Perang Dingin itu telah membuka lembaran baru dalam persahabatan termasuk membentuk hubungan diplomatik antara Malaysia dan China," jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata, tujuan pameran ini diadakan bagi memaparkan kepada rakyat mengenai lawatan bersejarah Tun Abdul Razak ke China yang telah membuka kepada hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

"Kita mengadakan pameran ini supaya generasi muda dapat memahami sejarah Malaysia dan dasar luar negara dengan China.

"Pameran ini memaparkan secara terperinci dalam bentuk gambar lawatan Tun Abdul Razak ke China dari 28 Mei hingga 2 Jun 1974," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment