My Add

Wednesday 28 May 2014

Indeks jenayah Johor turun sejak 2008 - KPN

 Khalid Abu Bakar
BATU PAHAT, SELASA 27 Mei, 2014: Polis Kontinjen Johor berjaya mencatatkan penurunan kadar jenayah selama lima tahun berturut-turut sejak 2008 apabila sebanyak 9,519 kes jenayah dapat dikurangkan dalam tempoh itu sehingga kini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bagi tempoh Januari hingga April lalu pula, indeks jenayah di negeri itu berjaya dikurangkan sebanyak 594 kes atau 10.32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagi daerah Batu Pahat pula, trend penurunan jenayah sejak 2008 juga berjaya dicatatkan apabila sebanyak 567 kes telah dikurangkan, manakala bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sebanyak 89 kes berjaya dikurangkan," katanya semasa majlis perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

IPD yang dibina dengan kos RM61 juta itu mula diduduki sejak 11 November 2011 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Bakri Zinin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Khalid berkata, biarpun indeks jenayah bukan satu cerminan muktamad tentang trend jenayah, namun jumlah penurunan itu membuktikan kesungguhan dan tekad polis negeri ini menurunkan kadar jenayah.

"Kontinjen Johor turut menggunakan strategi dan pendekatan agresif menerusi kaedah kepolisan terkini iaitu dengan meningkatkan omnipresence, melaksanakan penugasan unit rondaan bermotosikal, penggunaan teknologi dalam memerangi jenayah dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, laporan Ops Cantas Khas bagi kontinjen itu hingga 29 April lalu menca­tatkan penangkapan seramai 16,399 orang, pemeriksaan suspek melibatkan 835,754 dan 6,028 orang dituduh manakala 847 orang telah ditahan.

Sementara itu, IPD Batu Pahat yang diterajui Asisten Komisioner Din Ahmad mempunyai kekuatan seramai 541 pegawai dan anggota, manakala sebanyak 11 buah balai diletakkan di bawah pentadbirannya.

IPD Batu Pahat yang dinaikkan taraf daripada balai polis ditubuhkan pada 1925 yang dahulunya dikenali sebagai Johore State Police.

Kini, IPD yang tersergam indah di Jalan Bakau Condong itu merangkumi sebuah bangunan pejabat pentadbiran setinggi empat tingkat, 10 tingkat rumah kediaman anggota dan pelbagai kemudahan lain di atas tanah seluas kira-kira 2.7 hektar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment