My Add

Wednesday 28 May 2014

Negara cuma miliki 28% tenaga mahir tempatan

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Kekurangan jumlah tenaga mahir di negara ini perlu diberi perhatian serius agar sektor industri tidak terjejas selain mencapai sasaran 33 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun depan serta 50 peratus pada 2020.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, ini kerana Malaysia hanya memiliki 28 peratus tenaga kerja tempatan dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi tahun lalu dan ia amat rendah serta tidak mencukupi untuk negara berdaya saing dengan negara maju di dunia.

Katanya, angka tersebut masih jauh ketinggalan berbanding negara maju di seluruh dunia seperti Australia dan Korea yang melahirkan 40 peratus pelajarnya dalam bidang teknik dan vokasional.

"Dunia semakin berkembang maju dan teknologi semakin sofistikated. Kita tidak mahu Malaysia ketinggalan dari segi teknologi, kerana itu penekanan perlu diberikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperkembangkan bakat sedia ada sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara dalam usaha untuk mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (FEMAC) di sini hari ini.

Tambah Ismail, usaha memartabatkan bidang kemahiran memerlukan komitmen dari semua pihak, terutama ibu bapa yang perlu berfikir jauh dan tidak lagi dibelenggu stigma mengenai bidang kemahiran tidak boleh menjamin masa depan.

"Pemikiran yang begitu sudah usang. Kita mesti bergerak ke hadapan dengan lebih laju bagi menyaingi negara maju lain yang telah lama berorientasikan pendidikan kemahiran dan dilatih dari awal persekolahan lagi. Tanamkan dalam pemikiran bahawa pendidikan kemahiran adalah pilihan dan bukan sebagai alternatif," ujarnya.

Jelasnya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menggalakkan anak-anak untuk memilih bidang kemahiran bagi menyambung pelajaran sama ada di sekolah aliran vokasional mahupun di institut kemahiran kerana bidang tersebut menyediakan peluang besar setelah tamat latihan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM320 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang berupa kuota pendidikan kemahiran.

"Ini bermakna lebih ramai lagi belia yang berminat dalam bidang kemahiran dapat menyambung pelajaran dalam bidang-bidang kemahiran yang mereka minati," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment