My Add

Wednesday 28 May 2014

Isyarat terakhir pukul 8.11 pagi

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengumumkan data asas atau data mentah yang mengandungi maklumat komunikasi antara pesawat MH370 dengan sistem satelit Inmarsat berhubung kehilangan misteri kapal terbang tersebut pada 8 Mac lalu.

Data tersebut antaranya mengesahkan bahawa isyarat komunikasi atau handshake terakhir yang berjaya dilakukan antara satelit Inmarsat dengan pesawat MH370 telah dicatatkan pada pukul 8.11 pagi waktu Malaysia pada 8 Mac lalu.

Data setebal 47 muka surat tersebut mencatatkan maklumat isyarat komunikasi antara pesawat MH370 dengan satelit dan stesen bumi dari 16:00 waktu universal selaras (UTC) iaitu pukul 12 tengah malam waktu Malaysia sehingga 01:16 UTC (pukul 9.16 pagi waktu Malaysia).

"Percubaan terakhir komunikasi handshake oleh satelit Inmarsat telah dilakukan pada 01:16 UTC," demikian menurut penjelasan Inmarsat berhubung data yang dikumpulkan berhubung pesawat MH370.

Menurut data tersebut, komunikasi satelit dengan MH370 direkod secara spesifik mulai pukul 16:00:13.406 UTC dan berakhir pada pukul 01:16:15.000 UTC.

Selain itu, data tersebut turut menunjukkan permintaan handshake oleh satelit Inmarsat de­ngan terminal pesawat MH370 pada 00:10:58 UTC (kira-kira pukul 8.11 pagi waktu Malaysia) buat kali ter­akhir berjaya mendapat tindak balas pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu.

Percubaan satelit untuk mela­kukan handshake pada 01:15:56, 01:16:06 dan 01:16:15 (semuanya kira-kira pukul 9.16 pagi waktu Malaysia) pula gagal mendapat sebarang maklum balas daripada pesawat MH370.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan anak kapal telah hilang secara misteri ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Kapal terbang Boeing 777 itu berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam sebelum hilang pada pukul 1.22 pagi dan pelbagai percubaan untuk menghubungi­nya termasuk oleh pihak Malaysia, Viet­nam dan pesawat berhampiran menemukan kegagalan.

Berdasarkan enam isyarat handshake antara satelit Inmarsat de­ngan pesawat, pasukan penyiasat termasuk wakil-wakil antarabangsa telah menghitungkan bahawa pesawat MH370 mengeluarkan isyarat di koridor selatan iaitu di kawasan selatan Lautan Hindi.

Menurut penjelasan Inmarsat yang disertakan bersama data asas MH370, Burst Timing Offset (BTO) iaitu masa pemprosesan isyarat antara stesen bumi, satelit dan pesawat adalah tetap dan BTO membolehkan jarak antara satelit dengan pesawat dihitungkan.

"BTO merupakan nilai (dalam mikrosaat) relatif dengan sebuah terminal dalam satu lokasi tetap nominal.

"BTO sekali gus membolehkan jarak antara satelit dengan pesawat ditentukan, ia bagaimanapun tidak membekalkan lokasi sebenar pesawat," jelas Inmarsat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment