My Add

Wednesday 28 May 2014

Perkhidmatan internet 4G di semua sekolah menjelang 2015

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Kementerian Pendidikan menyasarkan peningkatan terhadap aplikasi perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di semua sekolah menjelang tahun 2015.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan perkembangan teknologi dan inovasi yang turut memberi kesan terhadap struktur pendidikan di negara ini.

Jelasnya, pihaknya sedang dalam usaha menambah baik kemudahan perkhidmatan internet di semua sekolah khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Proses pemantauan telah dijalankan bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang masih menggunakan perkhidmatan internet berkapasiti 2G.

"Setakat ini, menerusi program 1BestariNet, 8,746 sekolah telah berjaya dinaik taraf perkhidmatan internet. Kami sasarkan semua sekolah di seluruh negara memiliki kemudahan internet berkapasiti 4G menjelang tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Pendidikan Digital Asia Kali ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Kamalanathan berpendapat, program itu adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam memperbaiki sistem pengajaran dan pembelajaran menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam perkembangan lain, beliau turut melahirkan rasa sedih dan simpati atas kejadian yang menimpa seorang pelajar Malaysia di Bandung, Indonesia baru-baru ini.

"Diharapkan pihak universiti berkenaan dapat mengambil tindakan untuk mengetatkan prosedur keselamatan agar perkara seperti ini tidak berulang," jelasnya.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar Malaysia dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan Cikole Lembang, Bandung, Jawa Barat.

Berdasarkan laporan media tempatan, pelajar berkenaan diserang suspek ketika mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment