My Add

Wednesday 28 May 2014

Jenazah Azuan selamat dikebumikan

 * ADIK Mohd. Azuan, Noor Diaya Abdullah (kiri) bersama ibunya, Afidah Ehsan (dua dari kanan) menabur bunga rampai di atas pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kulai Jaya, Johor, semalam. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim
KULAIJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Jenazah anggota polis, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, yang maut selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki sekumpulan penyamun dalam kejadian di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu, Perak semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 23, di sini hari ini.

Suasana pilu disertai hujan renyai-renyai menyelubungi majlis pengebumian yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan sekerja Allahyarham.

Sebelum itu, jena­zah yang tiba di kediaman bapanya di Taman Scien­tex, di sini pukul 6 pagi disembahyangkan di Masjid Kampung Rahmad sebelum dibawa ke tanah perkuburan pukul 10.10 pagi.

Yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir adalah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim dan sebahagian warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa yang bertugas di Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Kurau itu mening­gal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat tercampak dari motosikal yang ditunggangnya.

Allahyarham dijadualkan me­lang­sungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya, Nur Faizah Muhammad Rejab di Kampung Paip, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah, Ahad ini.

Sementara itu, Ismail menyifatkan pemergian Mohd. Azuan sebagai satu kehilangan besar kepada warga PDRM kerana Allahyarham merupakan anggota yang berdedikasi dalam menjalankan tugas.

"Hari ini merupakan hari yang sangat sedih bagi keluarga PDRM, seorang anggota yang sangat dedikasi dan baik menjalankan tugas telah meninggal dunia angkara tindakan penjenayah yang tidak pernah bertimbang rasa.

"Kita sangat memerlukan maklumat daripada orang awam mengesan dan menangkap penjenayah ini. Sehubungan itu orang ramai diminta menyalurkan maklumat supaya kita dapat ambil tindakan terhadap penjenayah ini," kata Ismail sambil memberitahu pihaknya akan me­ngadakan majlis tahlil untuk Allahyarham selain menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Afidah Ehsan, 53, berkata, Mohd. Azuan adalah seorang anak yang bertanggungjawab, baik, lemah-lembut dan tidak pernah bergaduh dengan adik-beradiknya yang lain.

Menurutnya, anak ketiganya itu cukup teruja dan beria-ia membuat hantaran perkahwinannya sendiri.

"Saya agak hairan apabila dia menyatakan hasrat nak menggubah hantarannya sendiri sedangkan sebelum ini, dia meminta bantuan sanak-saudara yang lain. Apa yang saya tahu dia juga hampir menyiapkan kese­mua tujuh dulang hantaran tersebut, namun semuanya hanya tinggal kena­ngan kerana dia pergi dahulu," katanya.

Sementara itu, tunang Allahyarham, Nur Faizah Muhamad Rejab, 22, berkata dia tidak mampu untuk mengiringi jenazah Mohd. Azuan pulang ke kampung halamannya.

Menurut Faizah, ibunya tidak meng­izinkan dia berbuat demikian setelah melihat keadaannya yang terlalu bersedih sehingga hampir pitam semasa menanti jenazah di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.

"Sukar saya gambarkan pera­saan sepanjang menunggu di sana. Saya hampir pitam terutamanya apabila menatap wajahnya dan kerana itu, ibu tidak membenarkan saya meng­iringi jenazah ke Kulai.

"Saya sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir sesudah jenazah dimandikan sebelum bertolak pulang ke Kedah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment