My Add

Wednesday 28 May 2014

Penjenayah sengaja membunuh - Polis

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

TELUK INTAN, SELASA 27 Mei, 2014:Tindakan sekumpulan penjenayah yang merempuh mati seorang anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Kurau, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu dekat sini semalam, merupakan satu perbuatan yang disengajakan.

Justeru, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Saya dimaklumkan bahawa kenderaan itu dipercayai dibakar di Ara Kuda, Pulau Pinang. Kita dalam proses risikan dan siasatan. Insya-Allah, kes ini akan di­selesaikan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perjalanan proses peng­undian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Semalam, Mohd. Azuan yang bakal melangsungkan perkahwinan Ahad ini maut selepas dirempuh oleh salah sebuah daripada dua kereta dinaiki penjenayah yang melarikan diri setelah merompak sebuah van rokok di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu.

Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak daripada motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, proses pengundian awal di PRK Parlimen Teluk Intan berjalan lancar dan pihaknya sentiasa memantau pergerakan kempen supaya tidak menyalahi mana-mana peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya semua penyokong mahupun calon bertanding untuk mengelak sebarang bentuk provokasi termasuk merosakkan pos­ter serta membuat kenyataan yang boleh mencetuskan situasi tidak diingini.

"Selepas hampir 10 hari, kita dapati suasana di Teluk Intan pada keseluruhannya terkawal, cuma terdapat insiden-insiden kecil yang timbul atas dasar salah faham, namun perkara itu tidak me­larat sehingga membawa kepada sesuatu yang memburuk.

"Saya menjangkakan keadaan ini akan berterusan sehingga hari peng­undian pada Sabtu ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment