My Add

Thursday, 8 May 2014

Jumlah kuota haji kekal 22,320 jemaah - Tengku Aziz

 * TENGKU Aziz Raja Abdullah (enam dari kanan) dan Dr. Nik Roskiman Abdul Samad (lima dari kanan) bersama penyampai-penyampai radio IKIM pada sidang akhbar rancangan Lambaian Kaabah di IKIM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Kerajaan Arab Saudi menetapkan jumlah kuota jemaah haji dari Malaysia yang dibenar menunaikan ibadat itu kekal sebanyak 22,320 orang tahun ini, iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus seperti tahun lalu.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah, jumlah itu masih kekal kerana kerajaan Arab Saudi memutuskan pengurangan kuota itu ekoran kerja-kerja pembesaran kawasan di sekitar Masjidil Haram, di Mekah.

"Tahun ini kita akan mengekalkan jumlah yang sama seperti tahun lepas berbanding kuota asal sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan rancangan Lambaian Kaabah oleh IKIM.fm di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini mengumumkan kuota rasmi jemaah haji dari dari Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 22,320 orang, kurang 20 peratus daripada kuota asal 27,900 jemaah.

Menurut beliau, situasi pengurangan 20 peratus kuota haji seluruh negara dijangka berterusan sehingga 2016 iaitu sehingga selesai proses pembesaran kawasan sekitar Masjidil Haram.

Sementara itu Tengku Aziz berkata, Program 'Sahabat Tabung Haji' di mana jemaah haji membantu petugas TH menangani masalah yang dihadapi oleh rakan jemaah akan diteruskan pada musim haji kali ini ekoran perkembangan positif program itu pada musim-musim haji yang lepas.

"Kita pilih dalam kalangan jemaah haji sendiri secara rasmi bagi membantu petugas kita dalam beri perkhidmatan kepada rakan-rakan jemaah yang lain ketika di tanah suci termasuk dalam urusan ibadat dan juga perubatan," katanya.

Nik Roskiman berkata, rancangan Lambaian Kaabah musim ketujuh merupakan sebuah rancangan ilmu yang menyediakan pelbagai maklumat secara terperinci berkaitan persediaan dan pemahaman sebenar berkenaan ibadah haji oleh pakar bertauliah yang dilantik oleh TH.

"Rancangan sebanyak 18 episod yang diterbitkan dengan kerjasama Bahagian Bimbingan, TH dan Bank Islam (M) Berhad sebagai penaja rasmi itu akan menemui pendengar secara langsung setiap Khamis pukul 9.15 pagi bermula 1 Mei lalu sehingga 4 September depan.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan lebih 300,000 pendengar dan kita juga akan memuat naik setiap siaran ke laman web www.ikimfm.my bagi mereka yang terlepas mendengar rancangan tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment