My Add

Wednesday 28 May 2014

Kanak-kanak 6 tahun mati

Oleh NORAZRIN MARZUKI

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Ke­jam dan tidak berperikemanusiaan.

Itu yang berlaku terhadap se­orang kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai telah di­de­ra sehingga menyebabkan kema­tiannya.

Kejadian disedari apabila mang­sa, Muhammad Akhil Mustakim dibawa ke Hospital Ampang selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Tasik Permai, Ampang dekat sini, pada kira-kira pukul 1 petang semalam.

Mangsa kemudian disahkan me­ninggal dunia oleh pihak hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan mangsa.

"Melalui kecederaan fizikal yang dialami kanak-kanak itu, polis tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah didera.

"Sehubungan itu, kami telah menahan sepasang suami isteri yang merupakan bapa tiri dan ibu kan­dung mangsa pada pukul 5.30 petang semalam bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubu­ngi, di sini hari ini.

Difahamkan, kanak-kanak itu tinggal bersama kedua-dua suspek selepas ibu dan bapa kandungnya berpisah.

Tambah Adnan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Ra­shidi Nordah yang ditemui di bilik mayat HKL enggan mengulas lanjut mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan saya hanya menyerahkan kes ini kepada pihak polis untuk disiasat," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Jenazah Muhammad Akhil Mustakim disembah­yangkan di Masjid Bandar Baru Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teratai, Ampang di sini, petang ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment