My Add

Wednesday, 28 May 2014

Malaysia contoh negara Islam bijaksana dalam politik

PUTRAJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Malaysia merupakan negara Islam contoh dalam aspek kebijaksanaan politik kerana berjaya mentadbir negara walaupun mempunyai rakyat yang terdiri daripada agama dan kepercayaan yang berbeza.

Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr. Farhan Ahmad Nizami berkata, kejayaan tersebut diukur berdasarkan pengalaman negara ini mengatur langkah dalam membina hubungan antara umat Islam dan bukan Islam.

Katanya, pengenalan gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu usaha terbaik bagi membina jambatan berlainan agama dan bangsa dalam mewujudkan persekitaran harmoni menuju ke arah negara maju.

"Malaysia dilihat sebagai satu negara membangun yang mampu mengekalkan jati diri negara Islam walaupun berhadapan pelbagai cabaran dalam era moden dan kemajuan pada hari ini.

"Walaupun hidup dalam suasana berbilang agama dan bangsa tetapi rakyat Malaysia berjaya mengetepikan perbezaan demi keamanan dan pembangunan negara," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Kecemerlangan Lampau dan Cabaran Terkini Dunia Islam bersempena Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) di sini hari ini.

Majlis syarahan itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah dipengerusikan oleh Felo Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Denison Jayasooria.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Sekretariat SPP, Datuk Johan Jaafar.

Farhan memberitahu, beliau bangga kerana Malaysia berada di hadapan dalam kalangan dunia Islam dengan mengetuai beberapa forum ekonomi antarabangsa selain menjadi tumpuan import dan eksport.

"Siapa sangka dalam tempoh 50 tahun, Malaysia boleh menjadi negara Islam moden dan maju dalam tempoh singkat walaupun rakyatnya berbilang agama dan bangsa.

"Kejayaan itu disebabkan kestabilan politik dikecapi Malaysia berbanding negara lain yang sering kali mengalami kemelut perpaduan dan akhirnya menggugat pembangunan negara sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Farhan memuji komitmen Malaysia dalam menyumbangkan idea dan dana pendidikan kepada pelajar negara Islam lain.

Beliau menambah, usaha Malaysia menawarkan peluang pengajian di universiti-universiti yang berkualiti tinggi telah berjaya memberi manfaat besar terhadap dunia Islam.

"Usaha dilakukan Malaysia wajar dicontohi oleh negara Islam lain supaya agama Islam terus dipandang tinggi menerusi kemajuan pelbagai bidang kerana semuanya hanya bermula dengan pendidikan," - UTUSANu.

No comments:

Post a Comment