My Add

Tuesday 27 May 2014

KPDNKK tahan remaja 18 tahun muat turun muzik tanpa kebenaran

PUTRAJAYA, ISNIN 26 Mei, 2014: Kemen­terian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang didakwa memuat turun muzik tempatan dan filem antarabangsa tanpa kebenaran pemilik hak cipta dalam sebuah laman web pada minggu lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Maha­yudin berkata, pihaknya menjejaki remaja berkenaan yang dipercayai pemilik laman web haram, www.godam.org berdasarkan maklumat risikan dengan kerjasama orang ramai.

Beliau berkata, berdasarkan mak­lumat risikan berkenaan, satu serbuan dijalankan di kediaman suspek di Jalan Larkin Perdana 3, Johor Bahru membabitkan 15 ahli pasukan keselamatan terdiri tiga pegawai Cybersecurity Malaysia (CSM), empat pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia (BSJSM) Bukit Aman pada 21 Mei lalu.

"Hasil serbuan itu, kita menyita beberapa peralatan digital yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menjalankan aktiviti tersebut antaranya satu unit komputer riba, satu unit komputer peribadi, satu unit broadband, satu unit router dan satu unit modem dengan nilai anggaran RM15,000.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk siasatan lanjut dan telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam sidang akhbar Ops Trident di sini hari ini.

Mohd. Roslan memberitahu, remaja berkenaan menafikan dirinya pemilik laman www.godam.org walaupun maklumat risikan membuktikan dia pengendali laman itu berdasarkan tindakannya dengan mempromosikan menerusi laman sosial, Facebook.

Menurutnya, 20 lagu dimuat turun secara haram antaranya seperti Kita nyanyian kumpulan Forteen, Doa dan Menyemai Cinta Bersamamu (Nora) dan Titian Usang serta Cinta KV (Yantzen).

"Selain itu, terdapat lapan filem dimuat naik untuk diedarkan tanpa kebenaran kebanyakannya terdiri daripada filem baru seperti 47 Ronin, Gravity, Ride Along, Pacific Rim, We Are The Millers, The Hangover 3, The Hobbit: The Desolation of Smaug dan The Wolverine," katanya.

Katanya, kes itu di bawah Seksyen 41 1(D) Akta Hakcipta 1987 dan Seksyen 51(1)C akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengulas mengenai album terbaru kumpulan Wings, Menakluk Kosmos yang didakwa dicetak rompak tiga hari sebelum majlis pelancarannya baru-baru ini, Mohd. Roslan berkata, kes itu akan disiasat oleh pihak penguat kuasa dan polis tidak lama lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment