My Add

Tuesday 27 May 2014

Lawatan Perdana Menteri ke China cipta sejarah baharu

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

KUNJUNGAN bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bermula hari ini dijangka dapat memulihkan semula keyakinan rakyat republik itu untuk kembali mengunjungi Malaysia selepas insiden kehilangan pesawat MH370 kira-kira dua bulan lalu.

Lawatan selama seminggu Perdana Menteri itu diyakini akan membuahkan hasil ekoran pihak China juga tidak mahu insiden yang masih meninggalkan misteri tersebut menjejaskan hubungan erat kedua-dua buah negara.

Sempena meraikan ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China, tepatnya pada 31 Mei, pemimpin kedua-dua negara pastinya tidak mahu isu kehilangan pesawat membantutkan segala usaha yang telah dirancang terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan infrastruktur.

Sebaliknya kerjasama yang dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara termasuk keselamatan, pertukaran budaya dan antara rakyat perlu terus dilipatgandakan.

Dalam lawatan kali ini, Perdana Menteri dijangka turut mempromosi supaya China menambah pembelian dan penggunaan minyak sawit Malaysia, selain itu Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang akan diwujudkan manakala Malaysia membuka pejabat konsulat di Nanning. Beliau yang dijadual akan bertemu dengan tiga pemimpin utama China juga berharap jalinan kerjasama pertahanan.

Berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara China dengan ASEAN, Malaysia berharap negara-negara lain mempunyai pendirian yang serupa kerana lebih kukuhnya integrasi ekonomi maka lebih mudah untuk mencari penyelesaian dalam politik, terutamanya Malaysia yang mengamalkan diplomasi senyap dalam menghadapi krisis.

Apabila perdagangan, perniagaan dan pelaburan adalah baik maka keamanan dan kestabilan pula merupakan penentu masa depan kerana tanpanya akan memberi kesan kepada ekonomi dan perniagaan.

Istimewanya dalam lawatan kali ini, Presiden Xi Jinping akan 'melanggar' protokol biasa dengan menganjurkan satu majlis makan malam peribadi khusus untuk meraikan Perdana Menteri, sesuatu yang luar biasa kerana Presiden biasanya hanya melakukan pertemuan secara bilateral.

Menurut seorang pegawai kanan kerajaan, jamuan makan malam biasanya dianjurkan oleh Perdana Menteri China bukannya Presiden. Ini jelas menunjukkan Jinping bukan sahaja menerima kunjungan Najib tetapi meraikannya dalam majlis makan malam.

"Ia adalah sesuatu yang signifikan kerana jamuan rasmi akan dianjurkan oleh Perdana Menteri Li Ke Qiang. Hubungan ini bukan sekadar hubungan antara dua negara tapi lebih kepada dua buah keluarga," kata pegawai tersebut.

Begitu istimewa hubungan tersebut, China malah bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk meraikan hari bersejarah itu pada 31 Mei iaitu cuti umum bagi negara ini. Hubungan strategik sedia ada antara Malaysia dan China akan dinaik taraf kepada hubungan 'perkongsian strategik menyeluruh' dalam semua sektor kerjasama dan berdasarkan keputusan itu, Malaysia akan cuba menambah nilai dagangan yang kini sekitar RM320.7 bilion yang dianggarkan China kepada kadar RM1.5 trilion.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia berdasarkan perangkaan 2009 manakala Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar kepada China. Malaysia yakin dapat mencapai nilai dagangan tahunan RM513.68 bilion seperti dirancang dalam program lima tahun.

Keseimbangan dalam pelaburan langsung asing (FDI) antara kedua-dua negara perlu diwujudkan kerana jumlah FDI Malaysia ke China ialah RM20.2 bilion tetapi FDI China ke Malaysia hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu, umpamanya pada separuh pertama 2013 Malaysia menerima RM231.1 juta.

Malaysia perlu meraih lebih banyak pelaburan China ke negara luar yang dianggarkan sekitar RM1.6 trilion untuk tempoh lima tahun akan datang. Dalam bidang kerjasama lain termasuk kewangan Islam dan dagangan dua hala kini sudah pun menggunakan Renminbi dan Ringgit tetapi belum ada bank bagi menguruskan transaksi itu di Malaysia, justeru China mahu Malaysia menjadi rakan kongsi mereka dalam penubuhan bank berkenaan.

Salah satu projek ikonik yang akan menjadi mercu tanda 'perkongsian strategik menyeluruh' ialah pembangunan Taman Industri Qinzhou China - Malaysia dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China dengan projek pertama oleh Alliance Steel Sdn. Bhd. membabitkan anggaran pelaburan RM11.2 bilion

Guangxi Beibu Gulf International Port Group (Guangxi Beribu) dalam usaha sama dengan konsortium tempatan, IJM Corporation Bhd, akan memperbesarkan dan mengendalikan Pelabuhan Kuantan.

Universiti Xianmen pula akan menjadi universiti pertama yang akan memiliki kampus di luar negara dan pelancarannya dijadual Jun depan, manakala pengambilan kumpulan pelajar pertama dijangka penghujung 2015.

Dalam kerjasama dari segi pertanian pula, China bersetuju dan meluluskan import sarang burung walet mentah yang belum dibersihkan dari Malaysia yang akan turut dikembangkan kepada pengusaha kecil.

Dalam kunjungannya ke Xian, Najib dijadual melawat ibu kota purba China dan Muzium Terracotta, Warriors and Horses yang menjadi simbol ketamadunan China dan tujuh kejaiban serta mempunyai populasi orang Islam yang besar. Malaysia juga merancang untuk membina masjid China di Kuala Lumpur dan masjid tersebut akan memperlihatkan kebudayaan Masjid Besar Xian iaitu simbol budaya dan agama yang wujud sejak kira-kira 1,000 tahun lalu.

Hubungan Malaysia-China berkembang pesat sejak 1974 apabila Allahyarham ayahanda Najib, Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia ketika itu, melakukan lawatan bersejarah ke Beijing dan menjalin hubungan dengan China. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment