My Add

Tuesday 27 May 2014

Terus pertahan, martabatkan manuskrip Melayu

 *MUHYIDDIN Yassin tertarik melihat manuskrip-manuskrip lama yang dipamerkan pada majlis perasmian Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu di Purpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur semalam. Turut serta Mohamed Nazri Abd Aziz (tiga kiri), Raslin Abu Bakar (dua kiri) dan Dr. Rais Yatim (kiri). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru para cendekiawan tempatan agar memikul tanggungjawab terus mempertahan dan memartabatkan manuskrip Melayu sebagai dokumen warisan negara yang terpenting.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka harus mengambil iktibar daripada sarjana-sarjana Barat seperti Roolvink, Teeuw, Josselin de Jong, George Coedes dan Snouck Hurgronje.

Menurut beliau, sarjana-sarjana Barat tersebut berupaya menjadi pakar rujuk dalam memperkatakan bahasa, adat, tradisi lisan, batu bersurat, bahasa Melayu kuno dan pelbagai aspek peradaban Melayu.

"Bagaimanapun, sarjana Melayu sendiri tidak mengenali atau memperkenalkan budaya mereka.

"Sehubungan itu, diharap lebih ramai lagi pengkaji tempatan dan penuntut peringkat sarjana mendalami kajian tentang manuskrip Melayu di negara-negara tertentu," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Perpustakaan Negara Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar.

Pameran itu berlangsung selama tiga bulan mulai hari ini dengan mengetengahkan lebih 100 manuskrip Melayu asal dalam galeri berbentuk perahu besar Melayu.

Muhyiddin menambah, institusi-institusi tempatan juga perlu bersikap agresif memulakan usaha mengenal pasti dan mengesan taburan manuskrip Melayu di seluruh dunia serta menghimpunkannya semula di negara ini.

Beliau memberitahu, setakat ini, inisiatif tersebut telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Arkib Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Saya berharap lebih banyak lagi organisasi akan turut serta dalam merangka pelan strategi untuk memartabatkan manuskrip Melayu ini," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri juga berharap agar manuskrip yang disimpan badan dan individu tertentu dapat dipamerkan kepada orang ramai demi memperkayakan khazanah manuskrip Melayu yang boleh diakses oleh masyarakat.

Jelas beliau, manuskrip yang disimpan hanya akan mempunyai nilai tinggi jika ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

"Bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, koleksi manuskrip Melayu yang merakamkan segala ilmu pengetahuan tentang orang Melayu silam ini dapat dijadikan produk pelancongan ilmu.

"Ia akan dapat menarik perhatian pelancong dan ilmuwan antarabangsa untuk datang ke negara ini bagi meneroka khazanah serta ilmu dunia Melayu yang telah menyumbang kepada peradaban dunia zaman berzaman," katanya.

Muhyiddin turut menyatakan harapannya untuk melihat lebih banyak manuskrip Melayu menerima pengiktirafan antarabangsa seperti Hikayat Hang Tuah yang diiktiraf sebagai Memory of the World Register oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 20 Oktober 2001.

Beliau berkata, kerajaan juga bersedia untuk mempertimbangkan cadangan Perpustakaan Negara Malaysia bagi mewujudkan Bulan Manuskrip Melayu Kebangsaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment