My Add

Monday 26 May 2014

Mahkamah Tinggi bebaskan bekas CEO Sime Bank

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: "Anda bebas sekarang dan tidak perlu lagi datang ke mahkamah."

Kata-kata itu diungkapkan peguam Kitson Foong kepada anak guamnya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Bank, Datuk Ismail Zakaria selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan untuk mengetepikan rayuan Bank Negara.

Bank pusat itu mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Ismail daripada pertuduhan meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta semasa negara mengalami krisis kewangan terburuk pada 1997.

Hakim Datuk Azman Husin membenarkan permohonan itu selepas Foong memberitahu mahkamah bahawa Bank Negara, selaku responden, gagal hadir di mahkamah sungguhpun selepas beberapa penangguhan rayuan dibenarkan mahkamah untuk memudahkan pihak pendakwaan.

"Kegagalan responden beberapa kali untuk hadir ke mahkamah menunjukkan mereka tidak lagi berminat dalam perkara ini," katanya, dan menambah mereka gagal menghadiri pengurusan kes yang ditetapkan mahkamah.

Foong memohon kepada mahkamah agar perjalanan 16 tahun anak guamnya ke mahkamah ditamatkan.

Pada 12 Sept 2011, Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada empat pertuduhan bertindak di luar bidang kuasanya meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta kepada sebuah syarikat pelaburan.

Ismail, 71, didakwa meluluskan pinjaman RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise Capital Sdn Bhd. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment