Muhyiddin bawa 'wajah baharu' hubungan Malaysia-Uzbekistan
Daripada LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
TASHEKENT, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakhiri lawatan empat hari ke Uzbekistan semalam berjaya melakar sejarah baharu hubungan dua hala terutama dalam melonjak nilai dagangan antara dua hala kedua-dua negara.
Sambil menyifatkan lawatannya sebagai berjaya dan mencapai matlamat serta tujuan asal, Timbalan Perdana Menteri berkata, bidang lain seperti pelancongan dan pendidikan turut menjadi fokus utama yang dijangka menerima kesan positif.
Malah, beliau bersetuju dengan saranan Menteri Perhubungan Ekonomi Luar, Pelaburan dan Perniagaan Uzbekistan, Elyor Ganiev supaya ditubuhkan Majlis Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Uzbekistan supaya menjadi medium bagi entiti perniagaan kedua-dua negara berbincang dan mencapai kesepakatan dalam kerjasama mereka.
"Saya fikir ini memang tepat dan saya bersetuju... mesti ada syarikat Malaysia yang berminat duduk dalam satu majlis begitu untuk berbincang di peringkat mereka, sebelum dibawa kepada agensi kerajaan masing-masing untuk diselesaikan.
"Saya kira ini akan mempermudahkan banyak perkara yang hendak dilaksanakan kerana kedua-dua pihak duduk bersemuka dalam satu majlis...apabila kita lihat ada prospek dan peluang, maka majlis seperti itu boleh bantu licinkan perjalanan perniagaan," katanya kepada media Malaysia sebelum berangkat pulang ke tanah air malam tadi. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment