My Add

Friday, 9 May 2014

Najib kesal insiden penculikan terbaharu di Lahad Datu

TAIPING, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kesal terhadap insiden penculikan terbaharu membabitkan seorang rakyat China di Lahad Datu, Sabah kelmarin.

Perdana Menteri berkata, berikutan itu beliau telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ke Sabah bagi berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, perbincangan menjurus kepada mencari jalan untuk meningkatkan penguatkuasaan peraturan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) supaya lebih ketat serta tegas.

"Kerajaan akan memberi perhatian terutama sekali dalam menentukan laluan tertentu sahaja yang boleh digunakan.

"Kalau ada laluan khas, makna­nya sesiapa yang keluar masuk akan diperiksa. Kalau di luar laluan itu, pihak berkuasa boleh ambil tindakan terhadap mereka yang melaluinya," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Rumah UMNO Bahagian Taiping di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin, seorang rakyat China yang merupakan pengurus sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar Wonderful Terrace Sdn. Bhd. di Pulau Baik, Sabah, Yang Zai Lin, 34, diculik sekumpulan lelaki bertopeng, berbaju ala tentera dan bersenjata dipercayai M-16.

Selain itu, pada 2 April lalu, dua wanita, seorang pelajar warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Resort Singamata, Semporna, dekat sini, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan penjenayah lengkap bersenjata api dan sehingga kini nasib kedua-duanya masih tidak diketahui.

Pada 15 November tahun lalu pula, seorang warga Taiwan dibunuh manakala rakan wanitanya diculik sekumpulan penjenayah di Pulau Pom Pom, Semporna.

Ketika ditanya sama ada kes penculikan itu mempunyai motif tertentu kerana membabitkan rakyat China, Najib memberitahu bahawa perkara itu mungkin kebetulan.

"Kejadian ini lebih bermotif mencari nilai tebusan. Kalau dapat menculik individu yang ada nilai komersial, wang tebusan yang di­letakkan lebih tinggi.

"Kita perlu mengetatkan kawalan di semua kawasan, kerana apabila tumpuan diberikan kepada 11 resort sebelum ini, mereka cari pula tempat lain yang menjadi tumpuan warga China mengendalikan urusan di Sabah," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment