My Add

Friday, 9 May 2014

TLDM cadang laksana sistem Sea-Basing

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyarankan kerajaan untuk melaksa­nakan sistem Sea-Basing iaitu penem­patan aset ketenteraan di tengah lautan yang dapat memudahkan ban­­tuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat di Perairan Sabah.

Panglimanya, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, ini kerana kini banyak aset ketenteraan ditempatkan di kawasan kurang strategik dan pihaknya akan mencari lokasi lebih strategik di kawasan tengah lautan menerusi sistem tersebut.

Beliau berkata, sistem itu akan menempatkan aset seperti bot pemintas serta alat komunikasi di kawasan strategik dengan keupayaan untuk bertindak di luar jangkauan dalam tempoh masa yang cepat.

"Kita akan memanjangkan cadangan berkenaan kepada kerajaan serta berharap sistem tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Sistem tersebut dapat memastikan aset ketenteraan berada dalam kesiapsiagaan tinggi. Malah, kita juga berharap penggunaan sistem radar dapat dise­gerakan agar segala kemungkinan yang berlaku dapat dihalang dengan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Hari Inovasi TLDM di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Hussain.

Dalam majlis itu juga, TLDM me­nandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MPC bagi meningkatkan budaya kreatif dan inovatif melalui perkongsian ilmu antara dua pihak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin, seorang rakyat China yang merupakan pengurus sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar Wonderful Terrace Sdn. Bhd. di Pulau Baik di Sabah, Yang Zai Lin, 34, diculik sekumpulan lelaki bertopeng, berbaju ala tentera serta bersenjata dipercayai M-16.

Abdul Aziz berkata, beliau sangat bimbang mengenai kejadian tersebut yang sekiranya tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan tahap keselamatan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment