My Add

Thursday, 8 May 2014

Selangor pertahan guna air bekas lombong

SHAH ALAM, RABU, 07 Mei, 2014: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terus mempertahankan tindakan penggunaan ai, RABU,r mentah dari bekas lombong bijih timah untuk menampung keperluan bekalan air pengguna di Lembah Klang meskipun wujud pertikaian pelbagai pihak mengenai status kualiti serta tahap keselamatannya sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan itu merupakan antara yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan negeri sebagai salah satu pelan bagi menangani krisis bekalan air pada masa ini.

Jelasnya, status kualiti enam bekas lombong di negeri ini iaitu Kolam Kambing Susu, Kolam KL-Larut, Kolam Hang Tuah 1, Kolam Hang Tuah 2, Sungai Selangor dan Kolam Rasa tidak sepatutnya dibangkitkan oleh mana-mana pihak kerana kesemua air mentah yang diambil di situ adalah selamat untuk dirawat serta digunakan oleh pengguna.

Ini kerana katanya, berdasarkan analisis pensampelan yang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Jabatan Kimia serta sebuah makmal bebas, ALS Tehnicam (M) Sdn. Bhd. pada 2 Mei lalu, pihaknya mendapati kandungan logam berat di keenam-enam bekas lombong berkenaan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Berdasarkan laporan tersebut, kandungan logam berat seperti magnesium, nikel dan plumbum berada di bawah paras yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan malah air mentah dari kolam-kolam bekas lombong ini juga perlu melalui beberapa proses rawatan dan diwajibkan melepasi pemeriksaan kualiti piawaian sebelum disalurkan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kandungan air mentah di beberapa bekas lombong di negeri ini yang mengandungi logam berat melebihi tahap dibenarkan.

Sementara itu, Pengarah LUAS, Md. Khairi Selamat dalam sidang akhbar sama menjelaskan, pihaknya telah menjalankan analisis terhadap air mentah di kolam bekas lombong terbabit sejak 2011 hingga 2 Mei lalu.

Menurutnya, Jabatan Kimia telah menguji kandungan air seluas 27 parameter yang mana merangkumi kategori fizikal, logam dan logam berat.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa parameter di dalam kumpulan logam melebihi piawaian ditetapkan namun melibatkan kuantiti yang sedikit dan boleh dirawat di loji pembersihan air.

Pada masa sama, Md. Khairi turut memberi ingatan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sengaja atau tidak sengaja memberikan gambaran salah terhadap kualiti air mentah dan air terawat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment