Terengganu nafi 17 Mei cuti umum khas
KUALA TERENGGANU, KHAMIS 15 Mei, 2014: Kerajaan negeri hari ini menafikan kononnya
17 Mei ini diisytiharkan sebagai cuti umum khas bagi menghargai jasa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan sempena majlis kesyukuran perkahwinan anaknya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, pengumuman palsu itu yang mulai tersebar luas dalam laman sosial adalah suatu yang sangat tidak berasas dan keterlaluan.
"Bagi saya itu perkara kecil tetapi perlu dinafikan apabila mulai disebarkan secara meluas,''katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain disebarkan di blog dan menerusi WhatsApp, Facebook milik Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin at-Takiri daripada Pas turut menyebarkan pengumuman yang kononnya dibuat oleh Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Sebaran itu menyebut bahawa kerajaan negeri akan turut menyediakan perkhidmatan bas percuma dari setiap Pejabat Daerah untuk membolehkan orang ramai menghadiri majlis berkenaan.
Bagaimanapun, Khairuddin kemudiannya membuat permohonan maaf setelah menyedari apa yang disebarkan itu adalah maklumat palsu dan memohon maaf kepada Ahmad Razif kerana tersilap memasukkan berita tersebut dalam Facebooknya.
Namun katanya, ucapan tahniah berhubung pelantikan Ahmad Razif yang dipaparkan semalam dalam status laman sosial miliknya itu adalah ikhlas tanpa sebarang prasangka. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment