My Add

Wednesday 28 May 2014

THP: El Nino beri kesan pada 2015

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
 
 ZAINAL AZWAN AMINUDDIN
KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Fe­nomena El Nino dijangka akan memberi kesan kepada pengeluaran minyaksawit mentah (MSM) pada 2015 dan tahun berikutnya jika ber­larutan dalam tempoh yang panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Bhd., (THP) Datuk Zainal Azwar Aminuddin berkata, bagaimanapun cuaca kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam masa terdekat.

Katanya, buat masa ini THP mencatat 23.86 tan metrik per hektar bagi pengeluaran BTS dan merupakan pencapaian terbaik bagi syarikat perladangan tersebut.

Jelas beliau, THP mempunyai 52,000 hektar kawasan perladangan di Sarawak yang mengeluarkan 44 peratus daripada keseluruhan hasil MSM.

"Cuaca panas kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran BTS tetapi sekiranya berlanjutan dalam tempoh yang panjang, pengeluaran MSM akan terjejas di antara 10 hingga 15 peratus terutama pada 2015 dan 2016," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) THP ke-44 di sini hari ini.

Fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan kekurangan taburan hujan berkemungkinan besar melanda dunia pada pertengahan tahun ini yang dijangka bermula antara Jun dan Ogos depan.

Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan berkurangan terutama di Sabah dan Sarawak selain mengakibatkan cuaca menjadi lebih panas dan kering.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, THP mencatat perolehan sebanyak RM470 juta, meningkat 25 peratus berbanding RM376 juta bagi tahun sebelumnya.

Menurut Zainal, THP menyasarkan untuk mencapai 1.3 juta tan metrik pengeluaran BTS menjelang 2017.

"Bank tanah kami juga meningkat tujuh kali ganda kepada 109,000 hektar dengan pengambilalihan PT Persada Kencana Prima awal tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, THP memperuntukkan sebanyak RM105 juta bagi perbelanjaan modal (ca­pex) untuk pembangunan kilang pemprosesan buah sawit di Sarawak yang menampung kapasiti pengeluaran 324,000 tan metrik, dijangka siap penghujung 2015.

Setakat ini, THP mempunyai tujuh kilang minyak sawit yang dapat menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 1.35 juta tan metrik setiap tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment