UMNO terus kukuh, unggul
TAIPING, KHAMIS, 08 Mei, 2014: UMNO yang bakal berusia 68 tahun pada Ahad ini bukan sahaja masih relevan, malah terus unggul dan gagah dalam memperjuangkan agama, bangsa serta tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kekuatan parti keramat itu tidak pernah berkurang, sebaliknya terus kukuh sebagaimana dicerminkan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sekiranya diterjemahkan usia 68 tahun itu kepada manusia, kekuatannya mungkin tidak segagah ketika muda tetapi berbeza dengan UMNO yang semakin kukuh dan kuat.
"Buktinya ialah UMNO berjaya menyerlah pada pilihan raya umum lalu apabila berjaya memenangi 88 kerusi Parlimen.
"Ya, memang pakatan pembangkang memenangi 89 kerusi tetapi mereka terdiri daripada gabungan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas manakala UMNO satu parti sahaja," katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Rumah UMNO Bahagian Taiping di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Penasihat di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Bahagian UMNO Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Mengulas lanjut, Najib memberitahu, walau bagaimanapun, parti itu perlu sedar dengan cabaran yang bakal didepani dalam menempuh masa-masa akan datang.
Katanya, UMNO perlu sedar akan cabaran yang bakal dihadapi supaya proses menambah baik, pembaharuan dan muhasabah diri dapat dilakukan sepanjang masa bagi menentukan parti itu terus relevan pada setiap zaman.
"Kita mahu UMNO dilihat boleh mengadaptasi cita rasa rakyat dan corak politiknya pula menuntut parti ini melakukan proses transformasi agar semakin hari semakin gagah serta dilihat sentiasa dinamik.
"Walau bagaimanapun, prinsip perjuangan tetap tidak berubah. Apa yang parti perjuangkan sejak 68 tahun lalu masih tidak berubah iaitu mendahulukan agama, bangsa dan negara, itu prinsipnya," jelas beliau. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment