My Add

Saturday 28 April 2012

'Tuduhan Mohammad Nizar karut'

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI 

TELOK KEMANG, JUMAAT, 27 April, 2012: Tuduhan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan rampasan kuasa jika Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai mengarut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sendiri tidak terfikir untuk melakukan perkara itu hanya semata-mata bagi memenangi pilihan raya.

"Saya ingin tegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun tidak pernah memanggil panglima tentera laut, darat dan udara kononnya kerajaan telah meminta mereka mengambilalih kuasa jika BN kalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bandar Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Ahmad Zahid mengulas dakwaan Mohammad Nizar dalam satu ceramah di Perak Ahad lalu yang menyatakan beliau telah dimaklumkan kononnya Najib memanggil dan bertanyakan kepada semua kepimpinan tentera darat dan udara tentang tindakan mereka sekiranya BN tumbang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu supaya berhenti berbohong hanya semata-mata untuk meraih sokongan daripada pengundi.

Katanya, kenyataan tanpa bersandarkan fakta itu hanya akan memperlihatkan kedangkalan Mohammad Nizar untuk mengheret anggota tentera yang dikatakan cenderung kepada satu-satu parti sahaja.

"Kita lihat sebagai contoh Datuk Seri Chan Kong Choy yang bertanding di Parlimen Lumut hanya menang majoriti 328 dan jika kami memaksa anggota tentera laut mengundi Barisan Nasional (BN) sudah tentu majoriti beliau adalah 11,200 undi seperti pada 2004," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment