My Add

Saturday 28 April 2012

Peluang pendidikan aliran Cina

*NAJIB Tun Razak melambaikan tangan kepada ribuan penduduk tempatan ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Sentral Sibu, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM dan ZAAIN ZIN

SIBU, JUMAAT, 27 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia merupakan negara tunggal di Asia Tenggara menawarkan pendidikan aliran Cina yang diberi peluang di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk rakyatnya.

Perdana Menteri berkata, keunikan sedemikian disumbangkan oleh kesediaan kerajaan sebagai satu pendekatan untuk membangunkan sistem pendidikan yang berasaskan kehendak dan aspirasi rakyat.

Justeru katanya, kerajaan membuat polisi untuk memberikan hak kepada rakyat bagi memilih jenis sistem pendidikan yang mereka mahukan untuk anak-anak mereka

"Tiada negara lain di Asia Tenggara yang telah membangunkan polisi sebegini, anda boleh pergi ke negara lain di rantau ini, baik di utara, selatan dan juga boleh ke Singapura tetapi anda tidak akan menemui pendidikan Cina di negara terbabit.

"Tetapi di Malaysia, pendidikan Cina merupakan bahagian penting dalam sistem pendidikan nasional," katanya sewaktu merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Thai Kwang, Lanang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan para pemimpin negeri yang lain.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada SJK Thai Kwang.

Perdana Menteri seterusnya berkata, pendidikan Cina di negara ini juga wujud kerana kerajaan memahami bahawa masyarakat Cina berbangga dengan budaya mereka.

Katanya, terkandung di dalam budaya itu ialah bahasa serta nilai positif seperti menghormati ibu bapa, selain konsep menyumbang bakti kepada masyarakat.

"Nilai seperti ini diajar di sekolah Cina, jadi kerajaan selalu mengambil pendirian sekolah Cina akan terus kekal sebagai sebahagaian daripada sistem pendidikan nasional," jelas beliau.

Lantaran itu kata Perdana Menteri, dalam tempoh tiga tahun lalu kerajaan memberikan peruntukan lebih besar kepada sekolah Cina dan jumlahnya mengatasi peruntukan yang disalurkan sebelum ini.

Katanya, dalam Bajet 2012, beliau mengumumkan peruntukan khas RM100 juta kepada sekolah Cina di seluruh negara dan jumlah yang sama turut dinikmati sekolah Tamil, sekolah agama dan sekolah kebangsaan kerana polisi kerajaan adalah adil serta menyeluruh.

"Kita memang meletakkan bidang pendidikan sebagi satu keutamaan, kita selalu sebut rakyat adalah sumber yang penting dan terbesar negara, kita bukan sekadar menyebut tetapi berjaya melaksanakannya.

"Tiada sektor lain yang menerima peruntukan yang lebih besar daripada pendidikan sejak kemerdekaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment