My Add

Friday 27 April 2012

20 Klinik 1Malaysia akan ditambah: Liow Tiong Lai

KULIM, JUMAAT, 27 April, 2012: Kementerian Kesihatan bercadang menambah sebanyak 20 lagi Klinik 1Malaysia tahun ini bagi memenuhi keperluan rakyat di seluruh negara di samping mengurangkan kesesakan di hospital.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata cadangan penambahan klinik itu secara dasarnya dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kementerian kini menunggu kelulusan rasmi mengenainya.

"Pada awalnya Perdana Menteri meluluskan penambahan 50 Klinik 1Malaysia bagi tahun ini tetapi kementerian memohon 20 buah lagi kerana terdapat banyak permintaan daripada Ahli Parlimen dan rakyat.

"Setakat ini di seluruh negara sudah ada 100 Klinik 1Malaysia yang sehingga kini memberi manfaat kepada lebih empat juta rakyat yang memerlukan pemeriksaan kesihatan," katanya selepas merasmikan Klinik 1Malaysia Taman Kota Kenari di sini, hari ini.

Beliau berkata, penambahan 50 Klinik 1Malaysia membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta manakala bagi 20 klinik itu ialah RM7.2 juta.

Liow berkata, permohonan untuk perkhidmatan Klinik 1Malaysia akan dibuka kepada semua Ahli Parlimen dan kawasan yang memerlukan di seluruh negara.

"Dengan adanya klinik ini pesakit yang menghidap asma, demam dan sakit ringan boleh ke klinik ini dan ia akan dapat mengurangkan kesesakan di hospital yang memerlukan mereka beratur panjang," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata tiga Klinik 1Malaysia akan ditambah menjelang Jun ini di Kedah iaitu di Bandar Baharu, Langkawi dan Pendang.

Kini, ada tujuh Klinik 1Malaysia di negeri ini iaitu dua di Kota Setar, dua di Kuala Muda, masing-masing sebuah di Kulim, Baling dan Kubang Pasu.

Beliau berkata, perkhidmatan klinik itu mendapat sambutan baik berikutan waktu operasinya yang lebih fleksibel iaitu dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan dibuka setiap hari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment