Oleh MARZITA ABDULLAH
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 April, 2012: Graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sebelum ini menghadapi masalah penempatan akan diserapkan ke sekolah mulai bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, sejumlah 4,859 graduan yang berjaya akan ditempatkan ke sekolah masing-masing melalui dua fasa.
Katanya, fasa pertama melibatkan seramai 4,671 yang graduan akan ditempatkan pada 23 Mei ini dan fasa kedua melibatkan seramai 159 graduan akan ditempatkan pada Julai ini manakala seramai 29 graduan telah ditempatkan di Pusat Anak Permata Negara pada 8 April lalu.
''Kementerian Pelajaran amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh graduan ini dan telah mengambil langkah-langkah pragmatik dalam menyelesaikan soal penempatan mereka di sekolah-sekolah di bawah kementerian,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pada Mei ini, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di sekolah menengah, sekolah kebangsaan, 439; sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), 98; dan 18 graduan di SJK Tamil (SJKT) manakala baki seramai 159 pula akan ditempatkan di sekolah menengah pada Julai.
Katanya, graduan-graduan tersebut merupakan antara seramai 5,510 graduan yang telah dipanggil untuk temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai Januari lalu.
''Seramai 4,953 graduan telah hadir dan daripada jumlah tersebut SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila mereka tidak menghadirkan diri pada hari temuduga dijalankan,'' katanya.
Menurut Muhyiddin, seramai 4,859 graduan berjaya dalam temuduga manakala 62 graduan telah gagal kerana tidak memenuhi empat elemen yang dinilai iaitu keterampilan diri dan sikap, keupayaan berfikir dan kemahiran berkomunikasi, pengetahuan am dan isu semasa pendidikan serta pengetahuan dalam bidang tugas.
Kata beliau, berikutan penempatan itu, pelantikan seramai 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan sebagai Guru Interim pada Januari lalu bagi memenuhi keperluan pengisian guru-guru di sekolah menengah akan ditamatkan.
''Bagaimanapun, Guru Interim yang berjaya ditemuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei ini berdasarkan keperluan pengisian opsyen pengajaran di sekolah menengah, sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT,'' katanya.
Muhyiddin berkata, kementerian juga akan menempatkan seramai 2,484 graduan J-Qaf dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ke sekolah kebangsaan mulai Jun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini kementerian tidak akan membuat pengambilan graduan IPT Swasta (IPTS) bagi tujuan tersebut.
Ini kerana katanya, Kementerian Pelajaran memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mengikuti bidang pendidikan diunjurkan lebih awal oleh kementerian itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi manakala graduan IPG perlu diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan kementerian.
''Saya berharap melalui kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan graduan ISMP IPTA,'' katanya.
Dalam pada itu, para graduan boleh melayari laman web SPP di www.spp.gov.my untuk mendapatkan keputusan temuduga manakala keputusan penempatan akan diumumkan kementerian tidak lama lagi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment