My Add

Saturday 28 April 2012

PM yakin kekayaan negara cukup untuk semua masyarakat

*NAJIB Tun Razak menerima jalinan kain berwarna warni melambangkan perpaduan masyarakat Sarawak daripada peserta persembahan kebudayaan selepas merasmikan bangunan baru SJK Thai Kwang, Lanang, Sibu, semalam. Hadir sama (dari kiri) Joseph Salang Gandum, Mohd. Shafie Apdal, Peter Chin dan Wong Son Koh. - BERNAMA

SIBUJUMAAT, 27 April, 2012: Kekayaan negara ini adalah mencukupi untuk dikongsi seluruh lapisan rakyat, oleh itu mana-mana pihak tidak perlu berasa bimbang jika melihat kerajaan membantu masyarakat tertentu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia kerana tiada istilah di dalam polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa jika sesuatu masyarakat dibantu, hak kumpulan masyarakat lain terpaksa dikurangkan.

"Kita ada sumber untuk membantu setiap kumpulan masyarakat kerana kita bangunkan negara ini bersama-sama dan saya akan pastikan kerajaan memenuhi janji-janjinya," katanya pada majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Thai Kwang, Lanang di sini hari ini.

Turut hadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Son Koh.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya tidak memperjudikan nasib negara ini yang telah dibangunkan secara bersama oleh masyarakat berbilang kaum sejak puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, mengambil risiko bukannya sesuatu yang tidak boleh dilakukan tetapi perlu diingatkan bahawa negara dan kerajaan boleh runtuh dengan pantas sebagaimana yang dihadapi negara-negara maju yang kini bergelut dengan masalah yang serius.

Katanya, negara ini mungkin tidak sempurna dalam erti kata sebenar tetapi setiap negara juga mempunyai kelemahan tersendiri.

"Walau apa jua yang anda fikirkan terhadap kerajaan hari ini, kita telah memenuhi janji dan mempunyai rekod prestasi yang jelas.

"Saya harap jangan kita mengambil mudah, cuba bereksperimen dengan perkara baru tetapi pengakhirannya kita hidup dalam penyesalan atas apa yang kita putuskan," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan projek fasa kedua tebatan banjir di bandar ini dengan kos RM50 juta akan dimulakan pertengahan Mei ini.

"Kita mahu rakyat Sibu tahu kita prihatin terhadap mereka dan kita akan terus bangunkan Sibu di bawah BN," katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment