My Add

Saturday, 28 April 2012

Polis buka kertas siasatan kenyataan Nizar:

IPOH, JUMAAT, 27 April, 2012: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa kononnya, Perdana Menteri ada mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera dan meminta mereka berbuat sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu dibuat selepas pihaknya menerima enam laporan polis daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam.

"Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Simpang Pulai semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohammad Nizar dalam satu ceramah Ahad lalu, menyatakan beliau dikhabarkan kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil semua kepimpinan tentera dan bertanya adakah mereka akan berbuat sesuatu jika BN tumbang.

Dalam ceramah itu yang turut dimuat naik dalam Youtube, Mohammad Nizar mendakwa kononnya ketua-ketua pasukan tentera akan bersama-sama dengan rakyat sekiranya BN tumbang.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohammad Nizar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pasukan keselamatan.

Ditanya bila Mohammad Nizar akan dipanggil memberi keterangan, Mohd. Shukri enggan mengulas lanjut tetapi menegaskan, siasatan akan dibuat mengikut prosedur.

"Apa pun, kita menjalankan siasatan berdasarkan prosedur dan lunas undang-undang," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment