PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Ogos, 2012: Setelah menunggu lebih 70 tahun untuk menunaikan ibadat haji, akhirnya hasrat seorang pesara guru untuk menjalani Rukun Islam kelima itu tercapai.
Bekas Ketua Kampung Sungai Miang, Pekan, Abdul Majid Mohamed berkata, dia tidak menjangka dalam usia yang sudah mencecah 83 tahun masih diberi kesempatan untuk mengunjungi tanah suci dan menjadi tetamu Allah SWT.
Faktor usia bukan penghalang bagi warga emas tersebut kerana dia masih mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat serta tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.
"Saya pernah menunaikan haji pada umur tujuh tahun bersama arwah ibu dan bapa dengan menaiki kapal laut tetapi pada usia sementah itu tidak banyak benda yang saya faham dan boleh lakukan.
"Selepas bersara sebagai guru pada 1986, faktor kewangan pula menjadi penghalang untuk menjejakkan kaki kali kedua ke Tanah Suci Mekah," katanya kepada Utusan Malaysia di Seri Perdana di sini hari ini.
Dia ditemui pada majlis penyampaian surat penyerahan menunaikan haji kepada imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyerahan 400 Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji 1433 Hijrah/2012 Program Khas Haji Tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Abdul Majid berkata, peluang yang disediakan oleh kerajaan itu sangat dihargai kerana masih ramai dalam kalangan imam dan pengerusi JKKK tidak mampu menunaikan ibadat haji.
Sementara itu, seorang imam dari Shah Alam, Jalalluddin Mat Jali, 53, berkata, pada mulanya dia terkejut dan tidak dapat menggambarkan rasa gembiranya selepas terpilih daripada ribuan imam dan ketua kampung untuk menunaikan ibadat haji.
Katanya, segala jasa dan budi yang diberikan oleh kerajaan itu tidak terbalas olehnya.
"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang untuk ke Tanah Suci Mekah buat kali pertama. Ini menunjukkan kerajaan menghargai jasa serta pengorbanan kami.
"Selain itu, kerajaan juga sudah lama membantu para imam dan ketua kampung dengan memberi pelbagai kemudahan seperti kenaikan elaun dan pada Ramadan lalu diberikan jubah yang sempat dipakai pada hari raya lalu," katanya.
Sementara itu, Imam Masjid An-Nur Saujana Putra, Sungai Buloh, Mohamad Yusoff Abdullah, 47, berkata, dia sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan kerajaan memandangkan gilirannya melalui Lembaga Tabung Haji hanya akan tiba ketika usianya mencecah 70 tahun.
"Jika diikutkan giliran, saya lambat lagi iaitu pada 2035, justeru program sebegini merupakan satu usaha yang cukup murni dan patut diteruskan bagi membantu golongan yang banyak berkhidmat pada masyarakat," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment