LONDON, SELASA, 28 Ogos, 2012: Atlet olahraga paralimpik negara sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini yang sentiasa berubah-ubah dan terus berusaha mempertingkat prestasi dari semasa ke semasa.
“Pada awal ketibaan kita di sini (Rabu lepas), cuaca agak panas dan ramai di kalangan atlet kita yang jatuh sakit, tetapi selepas beberapa hari di sini, mereka sudah dapat menyesuaikan diri.
"Kebanyakan mereka berjaya menunjukkan prestasi yang baik dengan membuat lontaran atau rejaman dalam lingkungan tahap prestasi terbaik masing-masing,” kata Ketua Jurulatih skuad olahraga elit paralimpik, R. Jeganathan.
Beliau berkata, jika atlet mampu mengekalkan rentak persembahan masing-masing pada hari pertandingan, mereka mampu melakar kejayaan.
"Memandangkan acara olahraga telah diletakkan sebagai sandaran pingat untuk kontinjen, saya berharap atlet dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka sekarang ini untuk melakar kejayaan,” katanya.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment