My Add

Monday 27 August 2012

Atlit negara bersemangat hadapi Sukan Paralimpik London


*ATLET Paralimpik Malaysia diketuai oleh Pengarah Majlis Sukan Negera (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong (depan, empat dari kanan) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim (depan, tiga dari kanan) ketika menghadiri majlis ringkas menaikkan bendera temasya Sukan Paralimpik Ke-4 di perkarangan Perkampungan Sukan Paralimpik di London, hari ini. Seramai 23 orang atlet dari Malaysia mengambil bahagian dalam sukan Paralimpik London 2012. - Foto BERNAMA
LONDON, ISNIN, 27 Ogos, 2012: Semua atlit elit paralimpik negara sudah bersedia bagi menghadapi edisi ke-14 temasya Sukan Paralimpik di sini yang akan membuka tirainya secara rasmi pada Rabu ini, kata Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong.

"Setakat ini kita dapat lihat betapa mereka begitu bersemangat untuk menghadapi temasya sukan terbesar dunia bagi atlit kelainan upaya.
"Semangat itu dapat kita lihat ketika mereka menjalani latihan di sini. Ada di antara mereka menjalani latihan di venue pertandingan sebenar. Daripada maklum balas yang saya terima, mereka tidak menghadapi sebarang masalah.

"Situasi seperti ini adalah sesuatu yang menggembirakan saya terutamanya sebagai ketua kontinjen untuk sukan ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Zolkples, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), berkata walaupun kontinjen negara adalah kecil berbanding negara-negara lain tetapi semangat sepasukan yang dipamerkan oleh atlit-atlit paralimpik negara adalah sangat kukuh.

"Saya melihat sendiri bagaimana semangat sepasukan di kalangan atlit walaupun berbilang bangsa dan daripada jenis sukan yang berbeza begitu kukuh sekali. Mereka saling bantu-membantu antara satu sama yang lain.

"Peranan jurulatih dan pegawai-pegawai dalam kontinjen juga banyak sekali membantu mengurus atlit-atlit kita di sini. Setakat ini, tiada apa-apa masalah timbul," katanya.

Zolkples berkata, beliau serta pegawai dan jurulatih sentiasa mengingatkan atlet supaya sentiasa memberi tumpuan kepada latihan yang mereka jalani dan tidak merasa tertekan.

Pada edisi kali ini seramai 23 atlit akan menggalas cabaran negara dalam lapan jenis sukan iaitu memanah, olahraga, berbasikal, ping-pong, powerlifting, renang, lawan pedang berkerusi roda dan perahu layar.

Mereka tiba di sini sejak Rabu lepas bagi menjalani latihan penyesuaian.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment