My Add

Thursday 23 August 2012

FGV rancang tambah 150,000 hektar tanah ladang

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: FELDA Global Ventures Bhd merancang untuk membeli 150,000 hektar lagi tanah perladangan dalam masa lima tahun dalam usahanya untuk menjadi peneraju industri kelapa sawit di dunia dalam tempoh lapan tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sabri Ahmad berkata, penambahan terbabit bagaimana pun bergantung kepada peluang dan manfaat yang bakal diperoleh melalui pembelian itu.

"FGV menyasarkan untuk menjadi pemain nombor satu dunia industri kelapa sawit dalam masa lapan tahun akan datang. Dengan pembelian 150,000 hektar tanah lagi, jumlah tanah FGV akan mencecah satu juta hektar," katanya kepada Bernama. Pada masa sekarang, FGV mempunyai 350,000 hektar tanah perladangan dan menguruskan 500,000 hektar tanah milik peneroka.

Bagi rancangan masa depan FGV, Sabri berkata negara-negara Asean yang berpotensi adalah Kemboja, Myanmar dan Indonesia, bagi pengukuhan segmen huluan.

"Jadi, negara-negara Asean ini menjadi tumpuan kepada FGV dalam peringkat pertama dan sekiranya ada peluang, kita ingin mengembangkan sektor perladangan dan pembuatan.

"Bagaimana pun, ianya masih beradapada peringkat awal, kita sedang buat kajian teliti, kajian teknikal, kajian kewangan, risiko yang mungkin timbul dan sebagainya," katanya.
Pada masa yang sama, Sabri berkata, penanaman pokok kelapa sawit baru sedang dilakukan di atas 15,000 hektar tanah di Kalimantan Barat, bagi menggantikan pokok-pokok yang sudah tua.

FGV juga akan mengembangkan lagi segmen hiliran dengan membuka lebih banyak kilang pembungkusan minyak masak dan marjerin di Vietnam dan Kemboja.

Sebagai segmen utama kumpulan FELDA, unit perladangan menjadi fokus utama FGVH, yang kini menyumbang perolehan kumpulan sebanyak 85 peratus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment