My Add

Saturday, 4 August 2012

Jawatankuasa Khas kaji isu bayaran tunai hasil petroleum: PM

KUALA LUMPUR, SABTU, 04 Ogos, 2012: Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Jawatankuasa Khas itu juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan," katanya sambil menambah bahawa semenjak enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman dibuat berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment