My Add

Thursday, 2 August 2012

Kanak-kanak 2 tahun lemas di tali air

BESUT, KHAMIS, 02 OGOS, 2012:Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun ditemui mati lemas dalam tali air sebuah bendang padi setelah keluar dari rumahnya di Kampung Padang Luas Dalam tanpa disedari oleh keluarganya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, mayat kanak-kanak itu, Ahmad A’Fi Naqib Supian ditemui tersangkut di tali air itu kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh pada kira-kira pukul 4 petang.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air sedalam kira-kira 1.5 meter yang terletak beberapa meter sahaja dari rumahnya yang ketika itu airnya mengalir deras bagi tujuan pengairan ke sawah padi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.

Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Supian Sulaiman, 30, ketika ditemui berkata, isteri dan ibunya yang berada di rumah tidak menyedari sama sekali semasa anak sulungnya itu keluar dari rumah.

"Isteri dan ibu saya mula menyedari kehilangan Ahmad A”Fi Naqib kira-kira pukul 2 petang dan telah meminta pertolongan jiran dan penduduk kampung untuk sama-sama mencari,” katanya yang ketika kejadian, dia tiada di rumah.

Supian yang bekerja sendiri berkata, mayat anaknya ditemui tersangkut di tali air itu oleh adiknya, Zulkifli, 16, selepas kira-kira dua jam mencarinya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment