My Add

Monday, 6 August 2012

Kekalahan bermaruah Chong Wei - PM

*NAJIB Tun Razak dan Awang Adek Hussin bersama Mustapa Mohamed serta ahli keluarganya menyaksikan perlawanan akhir badminton antara Lee Chong Wei menentang Lin Dan selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan kepada Masyarakat di Bachok, Kelantan, malam tadi.

BACHOK, AHAD, 05 Ogos, 201: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kekalahan pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei kepada musuh tradisinya Lin Dan sebagai bermaruah kerana beliau telah menunjukkan semangat juang dan komitmen yang tinggi.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia harus berbangga dengan usaha dan corak permainan yang ditunjukkan Chong Wei sebelum tewas dengan dua mata pada set ketiga dalam perlawanan akhir perseorangan badminton di temasya Olimpik London.

Malah beliau berkata, kerajaan bersedia untuk menentukan ganjaran yang sepatutnya diterima oleh pemain badminton nombor dua dunia itu di atas usaha yang ditunjukkan untuk mengharumkan nama negara.

"Walaupun Chong Wei tewas, dia telah menunjukkan semangat yang cukup tinggi dan gigih untuk meraih kemenangan.

"Kita anggap ini sebagai satu usaha yang cukup bersemangat. Walaupun tidak berjaya, dia telah menunjukkan komitmen yang tinggi, sebagai rakyat Malaysia kita berbangga dengan usaha dan corak permainan yang diperlihatkan oleh Chong Wei.

"Memang kekalahan ini bermaruah sebab dia tidak menyerah kalah dengan mudah, dia telah berjuang habis-habisan meskipun tidak berjaya disebabkan corak permainan Lin Dan yang agresif, tetapi dia telah menaikkan imej negara, kita akan tentukan apa yang sepatutnya untuk beliau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Naim, Jelawat di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Chong Wei menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam final tersebut sebelum tewas kepada Lin Dan 21-15, 10-21 dan 19-21.

Sementara itu di Putrjaya, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Chong Wei sebagai hero negara meskipun tewas kepada Lin Dan dalam final tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Chong Wei telah menunjukkan semangat juang dan kesungguhan yang tinggi dalam usaha mendapatkan pingat emas pertama untuk Malaysia dalam temasya Sukan Olimpik.

"Mungkin nasib tidak menyebelahi Chong Wei,tetapi apa-apa pun kita ucapkan tahniah dan saya kira beliau telah bermain bermati-matian dan bersungguh-sungguh.

"Saya dapat menyaksikan sendiri begitu hebat persaingan itu dan Chong Wei telah bersedia, namun begitu dalam mana-mana pertandingan ada kalah dan ada menang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir acara badminton tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Eksekutif Eden Inc. Sdn. Bhd., Tan Sri Abdul Rahim Mohamad.

Terdahulu, beliau meluangkan masa berbuka puasa bersama 127 anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah dan Badan Amal Nur Zaharah, selain menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua rumah amal itu sempena sambutan perayaan Aidilfitri di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim EDEN.

Muhyiddin berkata, beliau percaya kesungguhan Chong Wei itu mampu menyemarakkan lagi semangat rakyat negara ini untuk meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik pada masa depan.

"Mudah-mudahan satu hari nanti kita akan memperoleh pingat emas Sukan Olimpik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment