My Add

Friday 3 August 2012

Kualiti udara semakin baik di seluruh negara

*BANGUNAN di Persiaran Gurney, Georgetown kelihatan kabur berikutan jerebu yang melanda Pulau Pinang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Kualiti udara di seluruh negara dilaporkan semakin baik apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar setakat 11 pagi ini menunjukkan tiada kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat.

Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) www.doe.gov.my menyatakan, tiada kawasan yang mencatat bacaan kualiti udara tidak sihat dan berbahaya dengan 83 peratus kawasan di seluruh negara berada pada tahap bacaan IPU sederhana dan 16 peratus di tahap baik.

Kawasan sekitar Lembah Klang seperti Pelabuhan Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Selangor, yang merekod IPU tidak sihat pada pukul 11 pagi semalam, masing-masing mencatat bacaan IPU sederhana dengan bacaan antara 58 hingga 76.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar JAS, Mohd. Amir Ismail berkata, hujan di Lembah Klang pagi ini membantu menurunkan bacaan IPU di kawasan berkenaan.

"Hujan juga membantu mengurangkan kadar jerebu di kawasan Lembah Klang,” katanya di sini hari ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment