My Add

Monday 27 August 2012

'Pembunuhan beramai-ramai' di Syria

*GAMBAR yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan bagi Syria merakamkan sebahagian daripada berpuluh-puluh mayat penduduk awam yang terbunuh dalam serangan ganas tentera Syria di bandar Daraya. - AFP

DAMSYIK, AHAD, 26 Ogos, 2012: Beratus mayat ditemui di sebuah pekan di pinggir Damsyik selepas lima hari tentera Syria melancarkan serangan ganas, menurut pemerhati hari ini, ketika aktivis menuduh tentera kerajaan melakukan 'pembunuhan beramai-ramai'.

Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 320 orang terbunuh ketika serangan tentera di Daraya, sebuah pekan satelit di barat daya Damsyik yang dihuni kira-kira 200,000 orang penduduk.

Sebuah rangkaian aktivis di Syria, Jawatankuasa Pengurusan Tempatan, menyifatkan serangan di Daraya itu, sebuah pekan aman, sebagai 'pembunuhan beramai-ramai oleh tentera'.

"Tentera mengadakan sekatan dan menghalang kemasukan bekalan penting ke pekan itu. Mereka turut membedil pekan itu dengan senjata berat dan pesawat.

"Tentera kemudian memasuki pekan itu dan melakukan pembunuhan, sebelum memotong dan membakar mayat mereka yang dibunuh," kata kumpulan aktivis itu.

Aktivis turut menyifatkan serangan besar-besaran itu sebagai usaha terbaru kerajaan menghapuskan pemberontak di Damsyik selepas pemberontak tertumpu di bahagian selatan pinggir bandar raya ini, ekoran serangan tentera di pusat bandar raya pada bulan lalu.

Laporan itu, bagaimanapun tidak dapat disahkan kerana sekatan operasi media di Syria.

Sementara itu, Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 183 orang maut di seluruh Syria, semalam ketika konflik berdarah di negara ini yang tercetus sejak 17 bulan lalu, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan tamat.

Helikopter penggempur dan kereta kebal tentera turut membedil kawasan-kawasan pemberontak di bandar komersial Aleppo. - AFP

No comments:

Post a Comment