My Add

Thursday, 2 August 2012

Perjuangan untuk rakyat, bukan peribadi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012: Ahli politik perlu setia kepada perjuangan demi kepentingan rakyat dan tidak 'terjun kapal' apabila sesuatu keadaan dianggap tidak memihak kepada mereka, demikian menurut beberapa anggota Barisan Nasional dan veteran politik. 

Mereka merumuskan bahawa tiada tempat untuk golongan yang tidak setia kepada parti malah, sesebuah parti itu dilihat boleh menjadi lebih kukuh tanpa kehadiran orang seperti ini.

Veteran UMNO, Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan konsep perjuangan tidak boleh dipandang ringan dan ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam jangka masa pendek. 

"Niat perjuangan itu yang penting. Kalau niat baik, masalah apapun boleh diselesaikan secara bijaksana. Kalau tak, saya nampak ia akan jadi isu politik," katanya ketika mengulas peletakan jawatan Datuk Seri Lajim Ukin dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN). 

Turut mengambil tindakan serupa ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meletak jawatan sebagai pengerusi BN Tuaran pada 23 Julai disusuli tindakan keluar parti, enam hari kemudian. UPKO ialah antara komponen BN Sabah. 

Abu Zahar, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata Lajim sepatutnya bersemuka dengan kepimpinan parti dan berbincang secara berhemah untuk menyelesaikan sebarang masalah. 

"Tapi kalau dah keluar, parti akan terimalah. Buat apa kita tahan, kita tak mahu orang macam ni. Kita nak yang betul-betul berjuang untuk parti. Parti ada sistem dan peraturan, anggota lain pun tak nak terima pemimpin macam ini," katanya. 
Lajim, yang juga ahli Parlimen Beaufort, melepaskan jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO, ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort pada 28 Julai. 

Namun, beliau kekal sebagai ahli UMNO. 

Beberapa pihak menggesa Lajim, 57, supaya meninggalkan UMNO tetapi beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi parti untuk memutuskan mengenainya selepas pembatalan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Susulan peletakan jawatannya, Lajim dan Bumburing mengumumkan penubuhan platform perjuangan masing-masing. 

Pelbagai spekulasi turut dilontarkan mengenai kenapa Lajim dan Bumburing meninggalkan BN, antaranya kecewa tidak mendapat apa yang dihajati dalam parti, selain diumpan janji pihak pembangkang. 

Ahli parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee pula berkata, hanya pilihan raya yang dapat menentukan sama ada perjuangan kedua-dua rakannya dari Sabah itu benar-benar atas kepentingan rakyat atau bermotifkan peribadi. 

Beliau menyifatkan peletakan jawatan Lajim itu sebagai kemuncak kepada `cerita-cerita' yang didengar rakyat Sabah sejak tujuh bulan lalu. 

"Politik Sabah berwarna-warni dan sudah jadi kebiasaan untuk pemimpin negeri ini beralih warna bila pilihan raya semakin hampir," katanya, yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Bersetuju dengan konsep perjuangan bertunjangkan rakyat berbanding kepentingan peribadi, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata, tindakan 'lompat parti' adalah kebiasaan menjelang pilihan raya. 

"Walaupun belum diisytihar siapa bertanding, tapi kebanyakan yang buat (demikian) lebih kepada faktor peribadi. Namun, saya tidak rasa isu ini akan beri kesan kepada Umno dan BN Sabah secara keseluruhan," katanya. 

Bagi veteran Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail, tindakan Lajim hanya mengotorkan rekod politik beliau sendiri. 

"Jangan layan orang macam ni. Kalau dah lepaskan jawatan (dalam parti), dia sepatutnya letak sekali jawatan dalam kerajaan. Bila berlaku macam ni, sakit hati jugalah sebab dia sudah dapat semua kemudahan," katanya. 

Ketika Abu Zahar dan Abdul Aziz meminta ahli parti komponen BN Sabah supaya tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir pemimpin mereka, Kiandee bagaimanapun positif mereka tidak akan melakukan tindakan sama.

Mereka juga menganggap langkah membatalkan pelantikan Lajim sebagai timbalan menteri adalah tepat berikutan beliau nyata sudah tidak sehaluan dengan perjuangan BN. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment