My Add

Thursday 23 August 2012

Polis siasat FB kontroversi dikait Pemuda UMNO

NORAIZURA AHMAD 
KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Polis telah memulakan siasatan berkenaan dengan kewujudan satu akaun laman sosial Facebook, yang menggunakan nama Pemuda Umno dan memaparkan mesej berbaur hasutan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, "kita masih menyiasat kes ini dan akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak."

“Setakat ini, kita hanya menerima satu laporan berkaitan kejadian tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional, Ibdilillah Ishak membuat laporan polis selepas menyedari kewujudan laman sosial palsu itu pada Sabtu lalu, yang meletakkan profilnya sebagai ‘Pemuda Umno Malaysia’.

Dalam laman sosial sama turut diletakkan satu paparan poster berbaur hasutan dengan tulisan “Jika anda setuju untuk jadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. God bless you’.

Laman sosial itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin Umno khususnya dari Selangor yang kini mempunyai lebih 50,000 pengikut.

Difahamkan, akaun tersebut sudah tidak aktif pada petang sebelum laporan polis dibuat oleh Ibdilillah.

No comments:

Post a Comment