My Add

Saturday 4 August 2012

Program serlah semangat cintakan negara

KANGAR, SABTU, 04 Ogos, 2012: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan (PKMJGR) 2012 Parlimen Kangar yang berakhir malam tadi menyerlahkan semangat cintakan negara di samping menyemarakkan bulan Ramadan.

Kembara yang diterajui Jabatan Penerangan Perlis itu berakhir di Kampung Desa Permai, Tok Kuning yang terletak di pinggir Sungai Perlis.

Pada majlis itu, peserta kembara berbuka puasa bersama penduduk di samping mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya, anak yatim dan bapa tunggal.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kesihatan Perlis, Ahmad Bakri Ali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kayang.

Pengarah Jabatan Penerangan Perlis, Mohamed Lokman Mahmud, berkata 11 agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Perlis menyertai konvoi membabitkan lebih 20 kenderaan yang dihiasi Jalur Gemilang itu.

Sebelum melawat Kampung Desa Permai yang sebelum ini dikenali sebagai Perkampungan PPRT Tok Kuning, kembara itu turut melawat bazar Ramadan dan singgah di rumah golongan daif untuk memberi bantuan.

Peserta kembara itu singgah di bazar Ramadan Simpang Empat Abi dan disambut oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas yang kemudiannya mengagihkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan pengunjung bazar itu.

Majlis itu dimeriahkan dengan perarakan Jalur Gemilang oleh puluhan pemuda tempatan yang kemudiannya mengiringi konvoi menziarahi penduduk miskin di kawasan sekitar.

Konvoi itu turut singgah di bazar Ramadan Bintong.

Mohamed Lokman berkata, kembara itu membawa mesej semangat cintakan negara melalui kempen kibar Jalur Gemilang di samping menyemarakkan Ramadan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment