My Add

Monday 24 October 2011

BN Selangor guna slogan baru

NOH bersama Sohaimi (kiri) melihat produk selepas merasmikan program Jelajah Francais 1 Malaysia di Selayang, semalam.
Berita Harian
ISNIN, 24 oKTOBER, 2011: Barisan Nasional (BN) Selangor akan menggunakan pendekatan baru melalui slogan 'Sayangi Selangor dan Yakini BN', bagi menambat hati rakyat sekali gus merampas semula negeri itu daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata pihaknya kini sedang bekerja keras untuk memberi tumpuan terhadap pelbagai isu yang dihadapi rakyat negeri itu pada masa sekarang.

“Kita (BN) optimis untuk merampas kembali Selangor. Kita juga tidak pernah salahkan rakyat Selangor ketika kita tewas dalam PRU yang lalu, sebaliknya ia menguatkan keazaman kita untuk terus bekerja kuat demi memastikan impian itu akan tercapai.

“Hingga kini, BN tidak pernah menyisihkan Selangor dalam usaha membawa pembangunan walaupun ditadbir pakatan pembangkang, namun ia susah untuk dilaksanakan berikutan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah tidak selari,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Francais 1Malaysia di Selayang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BEPU), Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Datuk Moehamad Izat Emir.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, akibat daripada percanggahan dalam pentadbiran, banyak projek yang sudah dirancang tidak dapat dijalankan dengan baik dan ia dilihat sebagai memberi kerugian yang besar kepada rakyat Selangor.

“Ambil contoh daripada kementerian saya saja, kita sudah merancang pelbagai kegiatan pertanian di negeri Selangor seperti projek tanaman sayur, penternakan ikan dan ayam serta beberapa tanaman lain untuk dilaksanakan. Namun, kita menghadapi masalah seperti penggunaan tanah apabila kerajaan negeri enggan memberi kelulusan,” katanya.

“Selain itu, sikap degil kerajaan negeri yang enggan berdiplomasi mengenai isu air juga akan merugikan rakyat Selangor. Kita sudah maklumkan pada mereka (kerajaan negeri) mengenai kajian masalah kekurangan air di Selangor menjelang 2014 akibat peningkatan jumlah penduduk dan industri di negeri ini, tapi isu berkenaan dipolitikkan pula.” katanya.

Katanya, akibat sikap tidak mahu bekerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan menyebabkan rakyat Selangor terpaksa menanggung kesusahan selain ia juga akan merugikan banyak pihak termasuk pelabur dan industri yang menjadi pemangkin kepada sektor ekonomi negeri.

“Justeru, saya berharap, rakyat Selangor akan membuat penilaian dan keputusan yang tepat pada pilihan raya akan datang supaya kemakmuran hasil negeri akan bersama dinikmati,” katanya.

No comments:

Post a Comment