My Add

Monday 24 October 2011

Perhimpunan sopan, terkawal


NAJIB beramah mesra pada Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Bekas dan Pesara Polis di Kuala Lumpur, semalam.Oleh Meor Hisham Zulkifli
 




NAJIB beramah mesra pada Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Bekas dan Pesara Polis di Kuala Lumpur, semalam.









Tiada pihak berasa terganggu, tertekan pada majlis anjuran HIMPUN

Berita Harian
ISNIN, 24 Oktober, 2011: Penganjur perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) dipuji kerana berjaya mengadakan perhimpunan yang sopan dan terkawal pada Sabtu lalu, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meminda Seksyen 27 Akta Polis berkaitan dengan perhimpunan secara aman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perhimpunan itu amat jauh berbeza dengan perhimpunan haram BERSIH pada Julai lalu yang mencetuskan kekecohan kerana kali ini tiada pihak yang berasa terganggu, tertekan atau tidak selamat.

“Saya ucap tahniah kepada mereka sebab perhimpunan itu berlangsung penuh sopan dan begitu terkawal. Itu sebenarnya hasrat saya bila kerajaan tawarkan sebuah stadium untuk BERSIH mengadakan perhimpunan mereka (sebelum ini),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Bekas dan Pesara Polis, di ibu negara semalam. 

Kelmarin, hampir 10,000 menghadiri HIMPUN anjuran Sekretariat Himpunan Sejuta Umat dan beberapa NGO yang merumuskan 10 perkara dengan isu utama adalah mengingatkan semua pihak supaya tidak menceroboh hak umat Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. 

Sehubungan itu, Najib berkata, dalam usaha meminda Seksyen 27 Akta Polis, kerajaan akan meneliti apa yang berlaku ketika perhimpunan HIMPUN dan membandingkannya dengan amalan negara lain. 

“Ketua Polis Negara serta Menteri Dalam Negeri sedang meneliti dan merumuskan apa yang kita fikirkan (kaedah) terbaik dalam amalan sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi moden dan progresif bagi mengimbangi hak asasi individu dengan kepentingan umum serta soal keamanan dan ketenteraman awam,” katanya. 

Seksyen 27 Akta Polis 1967 memperuntukkan, mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum membabitkan peserta lebih daripada lima orang, di dalam premis atau di luar bangunan, perlu mendapatkan permit daripada pegawai polis daerah bagi menjaga kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat. 

Ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, Najib mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Buang Negeri 1956 akan dimansuhkan, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Ia bagi memastikan hak dan kebebasan asasi rakyat terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara. 

Ditanya mengenai tuntutan HIMPUN yang menuntut kerajaan menggubal akta murtad, beliau berkata, semua akta dan undang-undang berkaitan hal ehwal agama terletak di tangan kerajaan negeri dengan Sultan sebagai ketua agama. 

“Kalau ada tuntutan seperti ini, pihak berkuasa negeri akan meneliti dan membuat pertimbangan. Kuasa di bawah Sultan negeri-negeri,” katanya. 

Mengulas mengenai tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung pensyarah, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, selepas dikatakan membuat kenyataan bahawa Sultan boleh dikritik, Najib berkata, pensyarah itu tidak digantung tugas seperti yang didakwa. 

“Ramai yang salah faham. Saya dimaklumkan Reaktor UIA (Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin) bahawa dia hanya digantung ketika siasatan bagi membolehkannya memberi tumpuan terhadap siasatan. Ia bukan tindakan disiplin kerana ia masih disiasat,” katanya. 

Najib berkata, kerajaan turut berharap pesara kerajaan tidak memandang enteng pelarasan gaji dua peratus setahun yang bakal dilaksanakan pada 2013.

INFO: Seksyen 27 Akta Polis 1967 

* Mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah berkenaan. 

* Sebelum mengadakan perhimpunan sama ada dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperoleh demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat. 

* OCPD boleh menimbang sesuatu permohonan tetapi bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan perkumpulan yang lebih dari bilangan lima orang. 

* Kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budi bicara polis dan perhimpunan biasa di dalam bangunan kebiasaannya dibenarkan.

No comments:

Post a Comment