My Add

Monday, 24 October 2011

Perhimpunan Perdana kumpul 6,000 bekas polis

Utusan Malaysia
ISNIN,24 Oktober, 2011: Biarpun tidak lagi berpakaian seragam, hampir 6,000 bekas anggota dan pegawai polis semalam berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur untuk mempamerkan semangat keperwiraan yang tinggi dalam diri mereka.

Semangat yang tidak pernah luntur itu ditunjukkan sebilangan besar yang hadir pada Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara dan Bekas Polis, walaupun ada antara mereka kini sudah berusia.

Terdapat bekas polis hadir ditemani saudara terdekat dengan antaranya berkerusi roda.

Namun semua itu tidak membataskan semangat mereka untuk berhimpun pada majlis yang diadakan julung-julung kalinya ini.

Bagaimanapun emosi mereka ternyata diusik dengan sajak 'Perjuangan 1Malaysia' yang berkumandang dengan iringan gesekan biola di dalam dewan itu.

Rata-rata bekas perwira negara itu dilihat menitiskan air mata ketika mengimbau kembali kenangan serta perjuangan menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam ucapannya memberitahu, setiap bekas polis yang berjuang dan berkhidmat demi negara tetap dikenang sebagai perwira.

"Biarpun sudah meninggalkan pasukan, hati dan jiwa setiap mereka ini masih kekal sebagai perwira polis dan semangat itu juga tidak akan luntur meskipun zaman telah bersilih ganti," katanya.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh PDRM, Yayasan Pengaman, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Persatuan Veteran VAT 69 dan Persatuan Kebajikan Skuad 69.

No comments:

Post a Comment